KOTA SAMARAHAN: Dua pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerima Anugerah Graduan Terbaik Yayasan Sarawak 2020 di sini, semalam.
UNIMAS menyatakan bahawa majlis penganugerahan itu dihadiri oleh pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli hampir sementara majlis penutup diadakan di Galeri Koompassia Excelsa, Bangunan Canselori dengan Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Saudi, Timbalan Naib Canselor dan Penolong Naib Canselor hadir.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi dalam ucapannya mengucapkan tahniah di atas kejayaan graduan yang telah dipilih bagi menerima anugerah tersebut.
“Tahniah dan syabas di atas kejayaan dua orang graduan UNIMAS yang telah terpilih bagi menerima Anugerah Graduan Terbaik Yayasan Sarawak 2020 iaitu Yvanessa Henry Lemat dari Program Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM) dan Jee Jing dari Program Sains dan Pengurusan Sumber Tumbuhan, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS).
“Semestinya kejayaan yang diperolehi adalah berkat usaha dan kegigihan graduan bukan sahaja dari aspek akademik bahkan juga dari aspek kurikulum sepanjang tempoh pengajian di UNIMAS,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Dalam majlis tersebut, kedua-dua graduan telah menerima cek bernilai RM2,000 setiap seorang beserta sijil penghargaan dan plak dari pihak Yayasan Sarawak.
Dalam ucapannya, beliau juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Yayasan Sarawak atas tajaan sepenuhnya anugerah yang diberikan kepada graduan UNIMAS.
“Anugerah ini merupakan kali kedua yang diberikan oleh pihak Yayasan Sarawak sejak diperkenalkan pada tahun 2019 bagi meraikan graduan cemerlang dari segi akademik dan kurikulum.
“Saya berharap agar pihak Yayasan Sarawak akan meneruskan penganugerahan ini bagi tahun-tahun yang akan datang supaya ianya dapat menyuntik semangat kepada bakal graduan untuk berusaha lebih gigih, berdaya saing dan cemerlang dari aspek akademik mahupun kurikulum sepanjang tempoh pengajian di UNIMAS.
Katanya lagi, majlis itu diadakan secara sederhana dan ringkas dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ini diadakan bagi meraikan graduan terbaik Yayasan Sarawak 2020 serta sebagai simbolik penghargaan kepada pihak Yayasan Sarawak atas anugerah yang diberikan.
“Diharapkan agar hubungan kerjasama strategik antara UNIMAS dan Yayasan Sarawak akan kekal erat berpanjangan,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO