SIBU, 11 Oktober: Pendidikan merupakan legasi paling bermakna sesebuah sekolah kerana kesannya bukan sahaja membentuk kehidupan pelajar, malah turut mempengaruhi keluarga, komuniti dan masyarakat secara keseluruhan.
Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Sibu, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, kejayaan sebenar sesebuah institusi pendidikan tidak hanya diukur berdasarkan kemudahan fizikal atau pencapaian akademik, tetapi juga keupayaannya melahirkan generasi yang berjaya dan mampu menyumbang kepada masyarakat.
Beliau berkata, ramai bekas pelajar Chung Hua kini berjaya dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, profesional, pendidikan, perubatan, kejuruteraan, perundangan dan perkhidmatan awam.
Katanya, melihat bekas pelajar mencapai kejayaan serta menggunakan kebolehan mereka untuk membantu orang lain merupakan kepuasan terbesar sepanjang penglibatannya dalam bidang pendidikan.
“Saya percaya pendidikan kekal sebagai bidang yang memberikan kepuasan peribadi terbesar dan tujuan hidup yang mendalam kepada saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-110 Sekolah Chung Hua dan Angkat SumpahPelantikan Ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni Chung Hua Penggal Ke-32 di sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang diwakili oleh Setiausaha Akhbarnya, Ross Sia Wan Teng.
Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan berkata, beliau berkhidmat sebagai pengetua sekolah itu dari 1975 hingga 1983, dengan tempoh berkenaan kekal sebagai antara tahun paling bermakna dalam kehidupannya.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, pihak sekolah berusaha memperluas kapasiti akademik sehingga mewujudkan aliran kelas kesepuluh dan kesebelas, manakala jumlah pelajar meningkat kepada lebih 2,400 orang pada kemuncak perkembangannya.
Beliau berkata, selain kecemerlangan akademik, sekolah turut memberikan penekanan terhadap mutu pengajaran, disiplin dan kegiatan kokurikulum sehingga pelajarnya menyerlah dalam bidang sukan, kebudayaan, muzik, pengucapan awam dan pasukan beruniform.
Wong menggesa alumni terus memainkan peranan dalam pembangunan sekolah dengan menyumbangkan idea, kepakaran, masa dan sumber bagi memastikan Chung Hua terus berkembang.
Beliau menyifatkan cadangan membina gelanggang sukan berbumbung yang turut berfungsi sebagai pusat aktiviti serbaguna sebagai contoh komitmen alumni untuk menyumbang kembali kepada sekolah yang telah membentuk kehidupan mereka.
Wong turut mengingatkan bahawa pembangunan pendidikan perlu bergerak seiring dengan perubahan dunia, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, semikonduktor dan tenaga hijau.
Katanya, Chung Hua perlu terus mengekalkan kecemerlangan akademik, di samping memupuk kreativiti, pemikiran kritis, kepimpinan, pembentukan sahsiah, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.
Beliau berharap sekolah itu terus melahirkan generasi yang berakar umbi dalam budaya, bahasa, sejarah dan nilai murni, selain berani meneroka peluang baharu serta berdaya saing di peringkat global.
“Sempena sambutan ulang tahun ke-110 Chung Hua Sibu, saya merakamkan penghargaan kepada generasi terdahulu, termasuk ahli Lembaga Pengarah, pengetua, guru, kakitangan, ibu bapa, alumni dan pemimpin masyarakat yang telah menyumbang kepada pembangunan sekolah.
“Saya berharap Sekolah Chung Hua terus mempertahankan tradisi kecemerlangannya, menerima pembaharuan dan kekal sebagai institusi pendidikan yang menjadi kebanggaan Sibu serta Sarawak untuk generasi akan datang,” katanya.
Turut hadir ialah Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, Pengerusi Persatuan Alumni Chung Hua merangkap Ahli Lembaga Sekolah, Datuk Teo Boon Siew serta yang lain.
Oleh Akun Giman





