KUCHING, 9 Oktober: Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang agama di Sarawak terserlah menerusi penganjuran Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena sambutan perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Kompleks Unifor, di sini, malam ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kepelbagaian agama dan budaya merupakan antara kekuatan Sarawak dalam mengekalkan perpaduan serta keharmonian masyarakat.
Menurutnya, perpaduan bukan bermaksud menghapuskan perbezaan, sebaliknya kemampuan masyarakat untuk hidup bersama meskipun mempunyai latar belakang dan kepercayaan berbeza.

“Kita tidak semestinya mempunyai pandangan yang sama, dan kita tidak perlu menjadi serupa untuk kekal bersatu. Namun, kita berkongsi satu perkara yang sama — kita semua adalah anak Sarawak.
“Perpaduan bukan bermaksud menghapuskan perbezaan, tetapi kemampuan kita untuk hidup bersama dalam perbezaan sambil bergerak menuju tujuan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis berkenaan.
Abang Johari berkata, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) memainkan peranan penting sebagai jambatan antara kerajaan Sarawak dengan komuniti pelbagai agama dalam membina kepercayaan dan memperkukuh hubungan masyarakat.
Katanya, peranan Unifor bukan sekadar mengurus bantuan atau program, malah membuka ruang komunikasi bagi memastikan hubungan antara kerajaan dengan masyarakat pelbagai agama terus terpelihara.
“Itulah kekuatan Sarawak — kita memilih untuk saling mengenali walaupun berbeza kepercayaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keharmonian perlu diperkukuh melalui institusi dan hubungan berterusan serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, Abang Johari turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan besar Tun Wan Junaidi sepanjang perkhidmatan beliau, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan Sarawak di peringkat Persekutuan.
Katanya, antara sumbangan penting beliau ialah penglibatan dalam usaha merealisasikan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Menurutnya, pengalaman luas dan khidmat bakti Tun Wan Junaidi turut mencerminkan komitmen beliau terhadap pembangunan serta kepentingan Sarawak.

Sementara itu, majlis berkenaan menghimpunkan wakil enam agama, iaitu Kristian, Baha’i, Hindu, Tao, Buddha dan Sikh yang bersama-sama menzahirkan rasa kesyukuran serta mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertua Negeri dan keharmonian berterusan negeri ini.
Bishop Gereja Anglican Sarawak dan Brunei Darussalam, Datuk Donald Jute memulakan bacaan doa kesyukuran mewakili agama Kristian, diikuti wakil lima agama lain yang turut menyampaikan doa mengikut kepercayaan masing-masing.
Penglibatan wakil pelbagai agama itu mencerminkan semangat perpaduan dan sikap saling menghormati yang menjadi antara keunikan masyarakat Sarawak.

Penganjuran majlis tersebut menjadi antara pengisian sambutan ulang tahun ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, selain mengetengahkan kepelbagaian agama sebagai asas keharmonian masyarakat di negeri ini.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, barisan menteri, pemimpin agama serta dif-dif kenamaan.
Oleh Norman B




