KUCHING, 9 Oktober: Datuk Bandar Pulau Pinang mengetuai delegasi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengadakan lawatan penanda aras ke Taman Ausome (Ausome Park) milik Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi mempelajari pendekatan pembangunan dan pengurusan taman awam mesra autisme.
Lawatan itu bertujuan meneliti pengalaman MBKS dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih inklusif, khususnya bagi kanak-kanak autisme dan keluarga mereka.
Antara aspek yang menjadi tumpuan delegasi ialah reka bentuk taman, kemudahan yang disediakan, keselamatan, pengurusan serta penglibatan komuniti dalam memastikan kawasan rekreasi dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, lawatan tersebut membuka peluang kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan praktikal dalam pembangunan kemudahan awam yang memenuhi keperluan masyarakat.
Menurutnya, setiap kanak-kanak berhak menikmati kemudahan rekreasi awam dalam persekitaran yang selesa, selamat dan mesra pengguna tanpa mengira keperluan masing-masing.
“Setiap kanak-kanak seharusnya mempunyai peluang untuk bermain dan menikmati taman awam. Bagi keluarga yang mempunyai anak autisme, kunjungan ke taman sepatutnya menjadi pengalaman yang membuatkan mereka berasa selesa, diterima dan tidak dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan Ausome Park mencerminkan komitmen MBKS untuk memastikan keperluan kanak-kanak yang mempunyai keperluan berbeza turut diberikan perhatian dalam perancangan kemudahan komuniti.
Katanya, pendekatan itu juga selaras dengan pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dalam pembangunan bandar.
“Apabila kita merancang sesuatu ruang awam, kita perlu memahami siapa yang menggunakannya dan apakah keperluan mereka.
“Mendengar pandangan keluarga dan masyarakat membantu kita membuat keputusan yang lebih baik dalam menyediakan kemudahan awam,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ausome Park baru-baru ini menerima Anugerah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) JCI bagi kategori SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan sebagai pengiktirafan terhadap usaha menyediakan ruang rekreasi inklusif.
Wee berkata, pengiktirafan tersebut menjadi dorongan kepada MBKS untuk terus menambah baik kemudahan awam supaya lebih mudah diakses dan dimanfaatkan oleh semua golongan.
Menurutnya, nilai sebenar Ausome Park bukan terletak pada pengiktirafan yang diterima, sebaliknya manfaat yang diberikan kepada kanak-kanak dan keluarga yang menggunakan kemudahan berkenaan.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama serta perkongsian pengalaman berterusan antara MBKS dan MBPP dalam usaha memperluas pembangunan taman awam mesra autisme.
Lawatan itu diharap dapat membantu MBPP merancang pembangunan lebih banyak ruang awam inklusif di Pulau Pinang, khususnya yang memenuhi keperluan kanak-kanak autisme dan keluarga mereka.





