KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan memperuntukkan RM3.3 bilion bagi pelaksanaan projek prasarana asas desa menerusi Belanjawan 2027, merangkumi pembinaan jalan, pemasangan lampu jalan kampung, kemudahan komuniti serta penyediaan bekalan air bersih dan elektrik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata daripada jumlah itu, peruntukan bagi projek jalan desa ditingkatkan kepada RM2.3 bilion berbanding RM1.3 bilion pada 2022.
Beliau berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut melaksanakan pemasangan lampu jalan solar di kampung dan panel solar bumbung di rumah kebajikan serta rumah ibadat, selain menambah baik bekalan elektrik di sekolah tahfiz, pondok dan perkampungan Orang Asli.
“Bagi meningkatkan capaian air bersih di seluruh negara, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan menerusi program Non-Revenue Water Kebangsaan dengan tumpuan menggantikan paip kritikal yang usang sepanjang 1,900 kilometer,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) turut memperkukuh kesalinghubungan Internet negara dengan jumlah pelaburan RM5 bilion.
Beliau berkata setakat ini, liputan Wi-Fi telah diperluas ke semua kampus universiti awam manakala liputan rangkaian 4G telah disediakan di semua penempatan FELDA.
“Tahun hadapan, tumpuan kita adalah untuk meliputi semua kampung Orang Asli dengan 4G, memastikan ketercapaian Internet di 7,000 kilometer jalan raya dan 1,700 kilometer rel kereta api serta pelaksanaan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM),” kata beliau. – Bernama




