KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Bantuan tiket penerbangan Flysiswa MADANI 2027 akan ditingkatkan kepada RM500 berbanding RM400 pada tahun lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ berkata program itu akan memberikan manfaat kepada 60,000 penuntut institusi pengajian tinggi awam.
Selain itu, Anwar berkata pelaksanaan Program Dapur Siswa MADANI akan diperluas ke politeknik dan institut pendidikan guru (IPG) dengan peruntukan RM20 juta.
“Ikhtiar ini akan menyediakan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa hanya RM5.
“Potongan cukai akan diberikan kepada pihak yang menyumbang makanan dan peralatan bagi tujuan itu,” kata beliau semasa membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, bagi menangani isu penginapan mahasiswa, Perdana Menteri berkata kerajaan akan bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan untuk mempercepat pelaksanaan projek.
“Fasa 1 Residensi Mahasiswa Universiti Malaya (UM) dijadualkan siap pada 2031 yang akan memanfaatkan 10,000 mahasiswa UM,” kata beliau.
Anwar berkata Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM750 Juta bagi Projek Vista Kampus, iaitu pembinaan kediaman siswa di enam universiti terpilih. – Bernama



