Belanjawan 2027: Cukai perkhidmatan jagaan warga emas turun kepada enam peratus

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kadar cukai perkhidmatan jagaan warga emas diturunkan daripada lapan kepada enam peratus bermula 1 Januari 2027 dengan pengecualian penuh bagi yuran jagaan sehingga RM96,000 setahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Bantuan Warga Emas pada tahun hadapan turut ditingkatkan kepada RM1.3 bilion bagi manfaat hampir 200,000 penerima.

“Kerajaan juga akan menggubal Rang Undang-Undang Warga Emas bagi menangani pengabaian serta memperkukuh ekosistem penjagaan yang menyeluruh sebagai persediaan negara menuju status negara tua,” kata beliau semasa membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata lebih RM40 juta disediakan melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk melatih 8,000 individu bagi menambah tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas, sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam bidang itu.

Beliau berkata dua pusat kepakaran penjagaan bersepadu (NICE) dibangunkan di Pulau Pinang dan Sarawak bagi tujuan latihan, penyelidikan serta penjagaan warga emas.

Selain itu, Perdana Menteri berkata ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencapai usia 55 dan 60 tahun boleh memilih skim i-Emas untuk menerima pengeluaran bulanan supaya baki simpanan terus menjana dividen. – Bernama