Dua warga Indonesia dipenjara, didenda kerana miliki gaharu tanpa permit

Facebook
WhatsApp

LAWAS, 9 Oktober: Dua lelaki warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM7,500 selepas menarik balik rayuan terhadap sabitan kesalahan memiliki gaharu tanpa permit di kawasan sempadan antarabangsa di Ba’Kelalan.

Kedua-duanya didapati bersalah memiliki 3.37 kilogram gaharu mentah daripada spesies Aquilaria tanpa permit daripada Pengawal Hidupan Liar.

Kedua-duanya dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM7,500 setiap seorang, atau penjara tambahan tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mereka yang berasal dari Liang Tuer, Kalimantan Utara, Indonesia, dijatuhi hukuman oleh Hakim Mahkamah Sesyen Lawas, Cindy MC Juce Balitus, pada 24 September lalu.

Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan anggota Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri ketika Op Taring Batas selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di sepanjang Jalan Puneng Kelalan, Ba’Kelalan, kira-kira jam 6.05 petang pada 14 September lalu.

Pemeriksaan mendapati mereka membawa bongkah dan serpihan kayu yang dibungkus dalam beberapa beg plastik.

Kedua-duanya kemudian diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk siasatan lanjut.

Irmanto dan Antonius disabitkan mengikut Seksyen 30(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun dan denda maksimum RM10,000.

Ketika prosiding di Mahkamah Tinggi, kedua-dua tertuduh menerusi peguam mereka, Lawrence Law, memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Hamid Ismail bahawa mereka memutuskan untuk menarik balik rayuan masing-masing.

Mahkamah menyatakan hukuman asal yang dijatuhkan adalah selaras dengan peruntukan ordinan berkenaan.

Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan supaya dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara masing-masing.

Barangan peribadi Irmanto dan Antonius juga diperintahkan supaya dikembalikan kepada pemilik masing-masing.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin dan Mohamad Mazidul Mis.

Oleh Adeng Edrus