PENOLONG Pengurus Sarawak United FC, Abang Suhordie Abang Zaini mahu memburu tiga mata penuh pada aksi ‘derby Kenyalang’ menentang Kuching City FC di Stadium Pasir Gudang, petang ini.
Beliau berkata, kemenangan pada aksi ‘derby’ itu sangat penting kerana sudah pasti pertembungan ‘abang’ dan ‘adik’ ini menjadi tumpuan utama peminat bola sepak negeri ini.
Katanya, tambahan pula sasaran mereka untuk tidak tercicir mata pada ketiga-tiga aksi baki perlawanan selepas ini, sekali gus impian untuk merangkul gelaran kejuaraan Liga Premier tercapai.
“Kita tidak memandang rendah kepada Kuching City malah kita menghormati mereka sebagai pasukan yang ‘junior’.
“Kita bersiap sedia dan lihat apa keputusan pada petang ini,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Abang Suhordie berkata, pasukan kendalian E Elavarasan itu kini giat menjalani latihan yang lebih menjurus sebagai persediaan getir menghadapi pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim.
Katanya, pemain kini berada dalam keadaan bersemangat dan positif untuk menghadapi pertemuan itu yang bakal menjadi perlawanan besar dan tumpuan terutamanya buat semua pendukung bola sepak di negeri Sarawak.
“Kita turun petang ini dengan satu misi, iaitu misi untuk meraih tiga mata penuh. Saya berharap misi untuk memenangi tiga baki perlawanan terakhir akan dapat dikekalkan.
“Kita juga percaya (Elavarasan) mempunyai ramuan tersendiri untuk menghadapi Skuad Irfan Bakti, sekaligus memastikan tiga mata dalam genggaman dan terus fokus untuk mencatat keputusan lebih baik pada baki dua perlawanan terakhir selepas ini,” ujar Abang Suhordie.
Tambah menarik, kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu kemenangan apabila Kuching City mahu menebus kekalahan pada aksi pusingan pertama lalu, manakala Sarawak United FC pula nekad memburu kemenangan untuk melebarkan jurang mata dengan pencabar utama mereka, Negeri Sembilan FC.
Oleh ADI SAFARMAN