Jerebu tebal selubungi Palembang, jarak penglihatan merosot hingga 400 meter

Facebook
WhatsApp
TETAMU hotel berenang di kolam renang atas bumbung dengan pemandangan latar langit bandar yang diselubungi jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah di Palembang, wilayah Sumatera Selatan, hari ini. Foto AFP

JAKARTA, 8 Oktober: Jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah menyebabkan jarak penglihatan merosot hingga 400 meter di Palembang, ibu negeri wilayah Sumatera Selatan, Indonesia hari ini, sehari selepas tiga penerbangan terjejas di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata asap berterusan dari pagi hingga petang, sekali gus menjejaskan aktiviti luar.

“BNPB menggesa penduduk memakai pelitup muka ketika berada di luar dan berhati-hati ketika memandu berikutan jarak penglihatan yang terhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berton berkata 354 titik panas dengan tahap keyakinan tinggi dikesan di seluruh Sumatera Selatan semalam, yang merupakan antara enam wilayah keutamaan Indonesia bagi kawalan kebakaran hutan dan tanah, selain 92 lokasi kebakaran aktif membabitkan kawasan seluas kira-kira 390.61 hektar.

Beliau berkata pasukan gabungan pemadaman dari darat dan udara berjaya memadamkan kebakaran meliputi 319.41 hektar setakat semalam, manakala kira-kira 71.2 hektar lagi memerlukan operasi susulan hari ini.

Operasi modifikasi cuaca masih belum dapat dilaksanakan berikutan keadaan yang tidak sesuai untuk pembentukan awan hujan, katanya. – Bernama