SERIAN, 8 Oktober: Seramai 59 warga Indonesia dipindahkan dari Depot Imigresen Semuja, di sini, ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu hari ini bagi proses penghantaran pulang ke negara asal.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pemindahan itu melibatkan 34 lelaki dewasa, 20 wanita dewasa dan lima kanak-kanak.

Menurut kenyataan itu, kesemua individu berkenaan yang dikategorikan sebagai Orang Yang Dipindahkan (OYD) diserahkan kepada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) bagi urusan penghantaran pulang.
Operasi pemindahan tersebut dilaksanakan melalui jalan darat dengan kawalan keselamatan oleh enam pegawai pengiring.
Langkah itu bertujuan memastikan perjalanan dari Depot Imigresen Semuja ke ICQS Tebedu berlangsung secara teratur, selamat dan terkawal.

Sepanjang operasi berkenaan, tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan dan keseluruhan proses pemindahan berjalan lancar.
Setibanya di ICQS Tebedu, kesemua warga Indonesia terbabit diserahkan kepada pihak berkaitan bagi meneruskan proses penghantaran pulang mengikut prosedur serta peraturan yang berkuat kuasa.
JIM Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pengurusan OYD dilaksanakan secara sistematik dan berintegriti, selain mengutamakan aspek keselamatan serta kelancaran kawalan sempadan negara.




