KOTA KINABALU, 8 Oktober: Suasana pilu menyelubungi Mahkamah Koroner di sini hari ini apabila rakaman audio perbualan ceria Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan ibunya diperdengarkan pada prosiding inkues bagi menyiasat kematian pelajar tingkatan satu itu.
Ibu remaja itu Noraidah Lamat, 46, yang juga saksi ke-81 prosiding kelihatan sebak ketika mendengar semula rakaman perbualan bersama-sama anak tunggalnya itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Sebanyak 42 rakaman audio dikemukakan dalam prosiding itu dengan 35 daripadanya membabitkan perbualan Zara Qairina dan ibunya.
Dalam rakaman itu, Zara Qairina kedengaran ceria dan mesra ketika berkongsi pelbagai cerita mengenai kehidupan seharian antaranya mengenai aktiviti persekolahan, keputusan ujian, kehidupan di asrama, rakan-rakan serta pertanyaan Zara Qairina mengenai lokasi ibunya.
Zara Qairina turut kedengaran mengungkapkan kata-kata sayang kepada ibunya dengan berkata: “Ma, I love you… Bye Raa…” dalam satu daripada rakaman tersebut.
Ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakilinya, Noraidah mengesahkan rakaman itu perbualan antaranya dengan Zara Qairina yang menggambarkan cara mereka berkomunikasi setiap hari, sama ada di rumah atau melalui panggilan telefon.
“Betul Tuan. Itu cara perbualan harian kami. Saya berbual dengan Zara Qairina seperti ibu dan anak, dan saya juga kawan kepada Zara,” katanya sambil menambah mereka sering berkongsi pelbagai kisah kehidupan bersama.
Selain perbualan dua beranak itu, mahkamah turut diperdengarkan rakaman komunikasi Noraidah dengan beberapa pihak lain termasuk rakan sekerja, guru sekolah mangsa serta petugas perubatan wad kecemasan.
Mengenai rakaman itu, Noraidah berkata semua perbualan telefon itu dirakam secara automatik menerusi telefon bimbitnya.
Wanita itu berkata mendengar semula rakaman itu bagi mengenal pasti nama individu yang pernah disebut anaknya dalam perbualan mereka.
“Saya dengar semula rakaman ini untuk mengenal pasti siapa nama-nama yang Zara sebut dan dari awal saya simpan semua rakaman ini di komputer riba,” katanya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.
Prosiding inkues bersambung esok dengan saksi yang sama. – Bernama




