SERIAN, 8 Oktober: Seorang lelaki berusia 47 tahun dari Daerah Bau ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 5.03 gram.
Menurut kenyataan IPD Serian, suspek ditahan pada hari ini dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah berkenaan.
Hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu dengan berat kasar 5.03 gram.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali serta tidak lebih sembilan kali.
Dalam perkembangan sama, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 selepas ujian awal air kencing mendapati dia positif Methamphetamine (Meth) dan Amphetamine (Amp).
Pihak polis memandang serius kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah yang terus menjadi ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
IPD Serian menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah, termasuk pesalah berulang.
Menurut pihak polis, pesalah berulang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952, sekiranya memenuhi syarat peruntukan undang-undang berkenaan.
Jika disabitkan kesalahan di bawah seksyen tersebut, pesalah boleh dikenakan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta sebatan tidak lebih tiga kali.
PDRM menyeru masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.
Oleh Adi Safarman





