CYBERJAYA, 8 Oktober: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu berhubung penyebaran kandungan disyaki palsu di platform media sosial Facebook yang mengaitkan dua insiden berasingan membabitkan kematian pelajar di Indonesia dan Malaysia.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata hantaran yang dimuat naik pada 5 Oktober lalu itu mengaitkan kematian seorang pelajar lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun dengan kes kematian Irene Sofiya di Yong Peng, Johor.
Menurut kenyataan itu, kandungan berkenaan turut mengaitkan kedua-dua insiden tersebut dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham mengenai sistem persekolahan di Malaysia.
“Susulan itu, MCMC telah mengambil rakaman percakapan individu berkenaan semalam bagi membantu siasatan.
“Satu unit telefon bimbit berserta kad SIM yang digunakan individu berkenaan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC berkata pihaknya memandang serius penyebaran kandungan palsu yang bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan perasaan dan sensitiviti keluarga serta rakan mangsa, khususnya apabila membabitkan kehilangan nyawa.
Sehubungan itu, MCMC menasihatkan orang ramai supaya memastikan kesahihan fakta dan sumber sebelum memuat naik atau berkongsi kandungan, selain menghormati sensitiviti pihak yang terkesan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menggunakan platform media sosial secara beretika dan bertanggungjawab,” katanya.





