MIRI, 8 Oktober: Tadika Sri Mawar bakal menganjurkan Hari Terbuka pada 17 Oktober ini bagi memberi peluang kepada ibu bapa mengenali persekitaran pembelajaran, kemudahan serta program pendidikan awal kanak-kanak yang ditawarkan.
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu turut membuka pendaftaran kemasukan murid bagi sesi persekolahan 2027.
Menerusi program berkenaan, ibu bapa berpeluang melawat bilik darjah, berinteraksi dengan tenaga pengajar serta mendapatkan maklumat mengenai pendekatan pembelajaran yang dilaksanakan di tadika tersebut.
Selain memperkenalkan kemudahan pendidikan, pelbagai aktiviti kesihatan dan kesejahteraan keluarga turut disediakan dengan kerjasama rakan komuniti bagi manfaat pengunjung.
Antaranya termasuk pemeriksaan kesihatan percuma melibatkan tekanan darah dan paras gula dalam darah untuk ibu bapa serta pengunjung.
Pengunjung juga berpeluang menjalani analisis komposisi badan menggunakan teknologi InBody pada kadar khas RM30 seorang sepanjang program berlangsung.
Bagi kanak-kanak, aktiviti interaktif berkaitan kebersihan tangan turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan mencuci tangan dengan betul sejak usia awal.
Guru Besar Tadika Sri Mawar, Evelyn Woodford berkata, penganjuran Hari Terbuka itu bukan sekadar memberi peluang kepada ibu bapa melawat tadika, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara keluarga, tenaga pengajar dan komuniti setempat.
“Hari Terbuka Tadika Sri Mawar bukan sekadar lawatan ke sekolah, tetapi peluang untuk keluarga belajar, bermain dan menjaga kesihatan bersama-sama.
“Kami mengalu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat untuk menyertai program ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, program berkenaan turut memberi ruang kepada ibu bapa mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai peluang pembelajaran, program serta pengalaman pendidikan yang disediakan untuk perkembangan awal kanak-kanak.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya keluarga di sekitar Miri dijemput hadir bersama anak-anak bagi memanfaatkan pelbagai aktiviti yang disediakan.
Hari Terbuka dan Pendaftaran Kemasukan 2027 itu akan berlangsung di Tadika Sri Mawar, Lot 1051, Jalan Acacia 3, Shang Garden, Miri.
Kemasukan adalah percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.




