JPN keluar lebih 160,000 MyKad Generasi Baharu di seluruh negara

Facebook
WhatsApp
INTAN Syerina Ahmad Nizam menunjukkan kad pengenalan baharu pada hari pertama pengeluaran MyKad Generasi Baharu di Jabatan Pendaftaran Negara hari ini. Foto fail BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 8 Oktober: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan sebanyak 169,346 keping MyKad Generasi Baharu di seluruh negara dalam tempoh 17 September hingga 6 Oktober lepas.

Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata lima negeri mencatat pengeluaran tertinggi ialah Wilayah Persekutuan dengan 20,592 keping; Johor (18,871 keping); Sarawak (15,777 keping); Sabah (13,711 keping) dan Selangor (13,452 keping).

Beliau berkata setakat ini sambutan yang diterima daripada rakyat amat menggalakkan disebabkan peningkatan daripada 23 kepada 53 ciri keselamatan berteknologi tinggi yang berupaya mengekang isu pemalsuan identiti.

“Bagi menampung peningkatan permohonan MyKad Generasi Baharu, JPN telah menambah pusat pengeluaran kad daripada 60 kepada 70 di seluruh negara. Hanya satu sahaja yang belum beroperasi, iaitu di daerah Langkawi, tetapi sudah pada peringkat akhir penyediaan dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.

“Berdasarkan rekod JPN bagi September, pemohon lelaki mencatat peratusan permohonan lebih tinggi, iaitu sebanyak 57 peratus berbanding perempuan. Namun, kita ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menukar MyKad lama kepada generasi baharu sekiranya cip masih dalam keadaan baik,” katanya selepas program MEKAR Komuniti di Taman Sinar Harapan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JPN Terengganu Awatif Hannan Md Yusup.

Badrul Hisham berkata sebanyak 25 program MEKAR telah dilaksanakan di Terengganu pada tahun ini untuk memudahkan rakyat, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli, pesakit kronik, pesakit mental dan warga emas mendapatkan MyKad.

Beliau berkata angka itu bukan sekadar statistik pencapaian, sebaliknya menggambarkan kehidupan rakyat yang disentuh melalui perkhidmatan JPN.

“Selain itu, JPN Terengganu juga telah memberikan 1,314 sesi khidmat nasihat kepada masyarakat pada tahun ini. Di sebalik sekeping MyKad, ada sebuah nama, sebuah kehidupan, identiti, maruah dan seorang insan.

“Tugas JPN bukan sekadar mengurus kad pengenalan, tetapi menjaga identiti rakyat dan amanah negara. Kita mahu JPN yang bukan sahaja cekap pada sistemnya, tetapi ada hati dalam perkhidmatannya,” katanya. – Bernama