Jambatan Batang Paloh dibuka 30 Oktober

Facebook
WhatsApp
PERASMIAN....Ir Aidel mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan Majlis Final Stitching Jambatan Batang Paloh, sebentar tadi.

DARO, 8 Oktober: Jambatan Batang Paloh dijadualkan dibuka kepada orang ramai pada 30 Oktober ini, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan laluan dari kawasan pesisir tengah Sarawak ke Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Kuching.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, kerja menuang konkrit bagi segmen terakhir jambatan sepanjang 1.7 kilometer itu dilaksanakan hari ini, menandakan pembinaan struktur utama menghampiri penghujung.

Menurutnya, kontraktor mempunyai kira-kira tiga minggu untuk menyelesaikan baki kerja, termasuk penurapan permukaan jambatan, sebelum laluan itu dibuka.

“Hari ini merupakan satu lagi hari bersejarah bagi kita apabila konkrit bagi segmen terakhir Jambatan Batang Paloh dituang.

“Jambatan ini akan dibuka kepada orang ramai pada 30 Oktober, maknanya tinggal lebih kurang tiga minggu lagi untuk menyiapkan baki kerja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan Majlis Penyambungan Bongkah Terakhir Jambatan Batang Paloh, sebentar tadi.

Aidil berkata, projek bernilai kira-kira RM298.49 juta itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak memperkukuh jaringan jalan pesisir di Sarawak.

“Pembukaan jambatan ini akan melengkapkan lagi rangkaian perhubungan di kawasan pesisir tengah, bersama jambatan utama lain termasuk Jambatan Muara Lassa, Batang Igan dan Batang Rajang (Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang),” katanya.

Menurutnya, rangkaian itu membolehkan pengguna memilih laluan ke Sarikei menerusi Jambatan Batang Rajang atau menuju ke Mukah dan Bintulu melalui Jambatan Muara Lassa serta Batang Igan.

Beliau berkata, projek Batang Paloh turut mencatatkan 1.93 juta jam bekerja tanpa kemalangan, mencerminkan pencapaian keselamatan sepanjang pembinaannya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ahli Parlimen Tanjung Manis Dato Ir Yusuf Abd Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, Pengara Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Moris serta yang lain.

Oleh Akun Giman