JPJ Sri Aman, Mahkamah Sri Aman perkukuh kerjasama pengurusan kes

Facebook
WhatsApp
KENANGAN…Hakim Mahkamah Sri Aman, Iris Awen Jon, bersama Ketua Cawangan JPJ Sri Aman, Mohamad Ammir Wahid, serta pegawai lain merakam gambar kenangan sempena kunjungan hormat di Mahkamah Sri Aman.

SRI AMAN, 8 Oktober: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sri Aman mengadakan kunjungan hormat ke Mahkamah Sri Aman bagi memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak, khususnya dalam pengurusan kes berkaitan penguatkuasaan jalan raya.

Kunjungan tersebut diketuai Ketua Cawangan JPJ Sri Aman, Mohamad Ammir Wahid dan disambut oleh Hakim Mahkamah Sri Aman, Iris Awen Jon.

Menurut kenyataan JPJ Sarawak, kunjungan berkenaan menjadi platform perbincangan mengenai pengurusan kes-kes JPJ serta pelaksanaan sistem e-Kehakiman.

Perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan urusan berkaitan kes JPJ dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, cekap dan berkesan.

Selain itu, kunjungan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan strategik antara agensi penguatkuasaan dengan institusi kehakiman bagi melancarkan urusan pentadbiran dan pengendalian kes.

JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada pihak Mahkamah Sri Aman atas kesudian menerima kunjungan berkenaan.

Kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak dilihat penting dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memastikan kelancaran pengurusan kes berkaitan JPJ.