Lelaki Indonesia ditemui meninggal dunia di rumah sewa di Serikin

Facebook
WhatsApp
LELAKI warga Indonesia yang ditemui meninggal dunia.

BAU, 8 Oktober: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 61 tahun ditemui meninggal dunia di rumah sewanya di Kampung Serikin di sini pagi tadi, dengan kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sementara siasatan lanjut dijalankan.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, polis menerima maklumat kira-kira 7.50 pagi bahawa lelaki berkenaan, Wan Ardiansyah, telah meninggal dunia di rumah sewanya berhampiran jalan menuju ke Pasar Serikin.

Beliau berkata, sepasukan anggota diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Bau, Sarjan Colin Anak Raape, bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dan Balai Polis Bau bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kesan mencurigakan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 9.35 pagi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Bau, Nicolar Berti Anak Sesak.

Mohd Haide berkata, mangsa yang berasal dari Sambas, Indonesia, telah tinggal bersendirian di rumah sewa tersebut di Kampung Serikin selama kira-kira 30 tahun dan bekerja sebagai penjaga parkir kenderaan di kawasan berkenaan.

“Mangsa masih bujang dan tidak mempunyai ahli keluarga terdekat yang diketahui di Kampung Serikin. Pemilik rumah juga tidak mengetahui identiti atau keberadaan ahli keluarga mangsa,” katanya.

Mangsa dilaporkan menggunakan Pas Lintas Batas (PLB) yang masih sah sehingga 25 Oktober ini.

Polis turut mendapati mangsa pernah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta pada 16 September lalu berhubung masalah luka dijangkiti pada kaki kanan. Mangsa disyaki menghidap diabetes serta kemungkinan mengalami osteomielitis, iaitu jangkitan pada tulang.

Mohd Haide berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Rumah Mayat Hospital Bau bagi siasatan lanjut mengenai punca kematian dan bedah siasat akan dijalankan.

“Polis juga akan merakam percakapan saksi sebagai sebahagian daripada siasatan,” katanya.