SIBU, 8 Oktober: Adat Iban perlu terus dipelihara, difahami dan disesuaikan dengan perkembangan semasa tanpa menghakis nilai serta prinsip asalnya bagi memastikan warisan berkenaan kekal relevan dalam kehidupan masyarakat moden.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata usaha memelihara adat bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), institusi akademik, pertubuhan masyarakat, ketua masyarakat dan keluarga.
“Pemeliharaan adat bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia bukan tanggungjawab MAIS sahaja. Ia bukan tanggungjawab ketua masyarakat sahaja. Ia juga bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Adat Iban: Adat Iban dari Perspektif Sosioundang-Undang di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Uggah, MAIS mempunyai peranan penting dalam memelihara, melindungi dan memartabatkan adat serta warisan masyarakat pribumi Sarawak, termasuk memastikan adat terus difahami, dihormati dan diamalkan dengan sewajarnya.
Katanya, usaha menggubal semula Adat Iban 1993 sedang dilaksanakan menerusi sesi libat urus bersama Tuai Rumah, Penghulu, Pemancha, Temenggong, Pejabat Daerah dan Pejabat Residen di seluruh Sarawak sejak 2021.
Langkah itu katanya, penting bagi memastikan pandangan serta pengalaman pelbagai pihak diambil kira dalam usaha memperkukuh kedudukan adat agar terus sesuai dengan perubahan masyarakat.
“Adat yang tidak difahami boleh hilang maknanya. Lebih membimbangkan, ia boleh disalah tafsir,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan dokumentasi, penyelidikan, pengumpulan pengetahuan lisan dan perkongsian pengalaman berkaitan adat perlu dilaksanakan secara sistematik supaya ilmu yang diwarisi daripada generasi terdahulu tidak lenyap ditelan zaman.
Beliau turut menggalakkan penggunaan teknologi digital untuk merekod, menyimpan dan menyebarkan pengetahuan mengenai adat, sekali gus memberi ruang kepada generasi muda untuk mempelajari serta mengkajinya dengan lebih mudah.
Dalam masa sama, Uggah berkata ketua masyarakat memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dengan kerajaan dan perlu mempunyai pengetahuan yang kukuh mengenai adat, prinsip serta konteks undang-undang bagi membantu menangani isu komuniti.
“Pemerkasaan tidak semestinya bermaksud kuasa. Pemerkasaan juga bermaksud pengetahuan, kefahaman dan keupayaan untuk membuat pertimbangan yang baik,” katanya.
Beliau berkata kefahaman mendalam mengenai adat dan undang-undang membolehkan ketua masyarakat membimbing komuniti dengan lebih berkesan, termasuk membantu generasi muda memahami adat dalam konteks kehidupan semasa.
Simposium itu turut membincangkan kedudukan Adat Iban dalam sistem undang-undang Malaysia, hak wanita dan kanak-kanak dalam kerangka Adat Iban serta peranan dan tanggungjawab ketua masyarakat berdasarkan Native Courts Ordinance 1992.
Forum bertemakan Adat Iban: Nyingkang ke Mua atau Adat Iban: The Way Forward turut menjadi platform untuk membincangkan hala tuju adat dalam menghadapi perubahan sosial dan perundangan semasa.
Uggah berkata kemajuan Sarawak tidak seharusnya menyebabkan masyarakat meninggalkan asal usul dan identiti mereka, sebaliknya adat perlu terus menjadi sebahagian daripada asas pembangunan masyarakat.
Beliau berharap hasil perbincangan simposium tidak terhenti di peringkat persidangan, sebaliknya diteruskan dalam komuniti dan dikongsikan kepada generasi muda supaya Adat Iban terus hidup, diamalkan dan dihormati.
Oleh Adi Safarman





