PPS sumbang 50 kerusi roda kepada HUS

Facebook
WhatsApp
SIMBOLIK penyerahan sumbangan 50 kerusi roda kepada HUS disaksikan oleh Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

KUCHING, 8 Oktober: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) menyumbangkan 50 kerusi roda kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) susulan keperluan penggunaan yang tinggi dan kerosakan kerusi roda sedia ada di hospital berkenaan.

Sumbangan itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian kepada Timbalan Pengarah HUS, Dr. Alex Kim Ren Jye, menerusi program Perpaduan Sarawak untuk Kemanusiaan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan PPS, pihak pengurusan HUS sebelum ini memaklumkan banyak kerusi roda sedia ada mengalami kerosakan, sedangkan keperluan penggunaannya masih tinggi berikutan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan setiap hari.

Susulan itu, PPS menghubungi beberapa syarikat dan individu bagi mendapatkan sumbangan untuk memenuhi keperluan berkenaan sehingga berjaya mengumpulkan 50 kerusi roda.

Sumbangan itu direalisasikan hasil sumbangan HS Best Automobile Sdn Bhd, DCM Autohub Sdn Bhd, Borneo Planner Management Sdn Bhd serta beberapa individu yang memilih untuk tidak mendedahkan identiti.

Ini merupakan kali kedua PPS menyumbangkan kerusi roda kepada HUS.

RAKAMAN gambar kenangan sempena penyerahan sumbangan 50 kerusi roda kepada HUS.

Presiden PPS, Dr. Wynson Ong berkata program Perpaduan Sarawak untuk Kemanusiaan bukan sekadar pemberian sumbangan, sebaliknya usaha menghubungkan pihak yang mahu membantu dengan keperluan sebenar masyarakat.

“Kami di PPS percaya bahawa perpaduan tidak seharusnya hanya disebut sebagai slogan, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sebuah kerusi roda mungkin nampak kecil kepada sesetengah orang, tetapi kepada seorang pesakit yang memerlukannya, ia boleh membawa perubahan yang besar dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerjasama antara sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, individu dan institusi awam membolehkan bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, PPS turut menyentuh kemudahan Dewan Solat Pelbagai Agama di HUS yang menyediakan ruang kepada pesakit, ahli keluarga dan petugas hospital menunaikan tanggungjawab keagamaan masing-masing.

Jelas Dr. Wynson, kemudahan itu menunjukkan keperluan pesakit bukan hanya melibatkan rawatan fizikal, tetapi turut merangkumi aspek emosi dan kerohanian.

“Apabila seseorang jatuh sakit, yang terjejas bukan sahaja tubuh badan, tetapi turut melibatkan emosi, fikiran dan jiwa.

“Sebab itu kami melihat kewujudan Dewan Solat Pelbagai Agama sebagai sesuatu yang sangat bermakna,” tambahnya.

PPS turut menyediakan perkhidmatan aduan pengguna secara percuma kepada masyarakat, termasuk membantu mengendalikan aduan, menyelaras penyelesaian pertikaian serta memperjuangkan penyelesaian yang adil dan munasabah.

PPS berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan hospital, agensi kerajaan, sektor swasta dan pelbagai pihak dalam melaksanakan inisiatif kebajikan serta memperjuangkan hak pengguna di Sarawak.

Oleh Masrin Affirah