Peres jadi wira, Kuching City elak tumbang di tangan Tampines

Facebook
WhatsApp
WIRA CITY BOYS... Gabriel Peres muncul wira Kuching City selepas meledakkan dua gol, termasuk gol penyamaan pada minit ke-90+3 untuk mengikat Tampines Rovers 2-2. Foto Facebook Kuching City FC

PETRA JAYA, 7 Oktober: Drama lewat permainan mewarnai aksi sulung Kuching City dalam Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup 2026/27 apabila dua gol dalam tempoh tiga minit memastikan skuad The City Boys bangkit daripada ketinggalan sebelum terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Tampines Rovers, malam ini.

Beraksi di hadapan lebih 5,500 penyokong di Stadium Negeri, Kuching City pada awalnya kelihatan bakal menanggung kekalahan selepas Tampines Rovers mendahului 1-0 seawal minit ke-13 menerusi Naberu Yoshitaka Furusawa.

Furusawa memanfaatkan keadaan selepas percubaan Gabriel Peres untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya hasil hantaran lintang Kenshin Yamazaki tidak berjaya dilakukan dengan sempurna, sebelum penyerang Tampines yang menunggu di tiang jauh mudah menyudahkan peluang menerusi tandukan.

Ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama menyaksikan Kuching City meningkatkan tekanan selepas rehat, dengan beberapa perubahan dilakukan bagi menghidupkan semula jentera serangan pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak.

Usaha tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-86 apabila Gabriel Peres menebus kesilapannya dengan meledakkan gol penyamaan menerusi rembatan dari luar kawasan penalti yang terkena pemain Tampines Rovers sebelum bola menerjah gawang.

Namun, kegembiraan Kuching City tidak bertahan lama apabila Tampines kembali berada di depan hanya dua minit kemudian.

Kesilapan penjaga gol Kuching City dimanfaatkan Kohya Kazama pada minit ke-88 untuk meletakkan Tampines Rovers kembali mendahului 2-1, sekali gus seakan-akan memusnahkan harapan tuan rumah untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata.

Bagaimanapun, Kuching City enggan mengalah dan terus mengasak sehingga wisel penamat.

Dalam masa tambahan, Peres muncul sebagai wira Kuching City apabila menjaringkan gol keduanya pada minit ke-90+3 untuk mengikat kedudukan 2-2.

Gol itu hadir menerusi satu hantaran lintang Joao Pedro yang terlebih dahulu terkena tiang kiri gawang Tampines sebelum Peres melonjak tinggi untuk menanduk bola muntah ke dalam jaring, mencetuskan sorakan gemuruh daripada penyokong tuan rumah.

Kebangkitan dramatik itu memastikan Kuching City terhindar daripada kekalahan dalam penampilan sulung mereka pada kempen ACC Shopee Cup 2026/27, dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata selepas pertarungan penuh aksi di Stadium Negeri.

Oleh Shahrul Qaizat