Gangguan bekalan air sekitar Jalan Wan Alwi, paip rosak kali kedua tahun ini

Facebook
WhatsApp
NOTIS gangguan bekalan air di sekitar Jalan Wan Alwi. Foto Sarawak Water

KUCHING, 7 Oktober: Penduduk sekitar Jalan Wan Alwi dan Tabuan Dayak sekali lagi berdepan gangguan bekalan air malam ini selepas paip utama di lokasi sama rosak akibat kerja pembinaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), kejadian kedua tahun ini.

Sarawak Water dalam notisnya memaklumkan paip utama DICL berukuran 400 milimeter/150 milimeter rosak akibat kerja pihak ketiga berkaitan KUTS di Jalan Wan Alwi, di hadapan Shell, hari ini.

Menurut kenyataan itu, kerja pembaikan dijadual bermula pada 8.00 malam ini dan dijangka selesai pada 4.00 pagi esok.

Antara kawasan yang terjejas ialah:

  • Jalan Wan Alwi;
  • Tabuan Dayak;
  • King Centre;
  • Queen Court;
  • Lorong Wan Alwi 1 hingga 7;
  • Milan Square;
  • Imperial Residence; dan
  • Pusat Beli-Belah Mega Vivacity serta kawasan sekitar.

Bagi kejadian malam ini, Sarawak Water berkata pasukannya akan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kecemasan dan bersedia menggerakkan lori tangki air atas permintaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan serta mematuhi pelan pengurusan trafik dan peraturan keselamatan di lokasi kerja.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Sarawak Water di talian 1-300-88-2020,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, ini merupakan kejadian kedua yang dapat disahkan di Jalan Wan Alwi tahun ini selepas paip utama berukuran 400 milimeter pecah pada 6 Mei lalu akibat kerja pihak ketiga berkaitan projek Kuching Urban Transportation System (KUTS).

Kejadian pada Mei lalu menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Wan Alwi, Tabuan Jaya, Tabuan Kedandi, Tabuan Keranji, Jalan Bayor Bukit dan Jalan Song.

Kerja pembaikan ketika itu selesai pada 5.00 pagi, 7 Mei, dengan bekalan air dipulihkan secara berperingkat selepas tekanan dalam sistem pengagihan kembali stabil.

Terdahulu, Sarawak Metro dalam kenyataan selepas kejadian berkenaan berkata kerja pemindahan utiliti di kawasan Jalan Wan Alwi masih dijalankan sebagai sebahagian daripada pembinaan KUTS Blue Line dan dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan, tertakluk kepada keadaan tapak serta penyelarasan utiliti dan trafik.

Oleh Masrin Affirah