75 warga Indonesia ditahan dalam operasi imigresen di Kuching

Facebook
WhatsApp
OPERASI penguatkuasaan imigresen oleh JIM Sarawak di sekitar Kuching melibatkan pemeriksaan di beberapa lokasi, termasuk premis perniagaan dan tapak pembinaan.

KUCHING, 7 Oktober: Seramai 75 warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak dalam operasi penguatkuasaan menerusi Ops Belanja, Ops Selera dan Ops Sapu di sekitar Kuching, dari 6 hingga 7 Oktober.

Menurut JIM Sarawak dalam kenyataan, kesemua yang ditahan terdiri daripada 62 lelaki dan 13 perempuan selepas 118 individu diperiksa dalam operasi yang membabitkan 28 anggota penguat kuasa.

Katanya, operasi bermula pada 11.00 pagi dan berakhir pada 4.00 pagi, dengan pemeriksaan dijalankan di lima lokasi, termasuk premis perniagaan serta sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan.

“Lokasi berkenaan menjadi tumpuan utama apabila seramai 66 warga Indonesia ditahan daripada 105 individu yang diperiksa di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan berhampiran No. 6, The Northbank.

“Pemeriksaan turut dijalankan di beberapa premis makanan di sekitar Pusat Komersial Kuching City Mall dengan sebahagian individu yang diperiksa disyaki melakukan kesalahan berkaitan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SEBAHAGIAN daripada warga Indonesia yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan imigresen di sekitar Kuching, dari 6 hingga 7 Oktober.

Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Dalam operasi sama, sebanyak dua saman saksi atau Borang 29 turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.

JIM Sarawak berkata operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara bersepadu dan berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen, khususnya berkaitan keberadaan serta penggajian warga asing di negeri ini.

Orang ramai dan majikan turut diseru memastikan dokumen serta pas imigresen pekerja asing sentiasa sah dan teratur bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.