Projek bumbung tapak perhimpunan SMK Bintulu mula bulan ini

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang meninjau tapak projek pembinaan bumbung tapak perhimpunan SMK Bintulu bersama wakil JKR, pihak sekolah, PIBG dan PPD Bintulu, semalam.

BINTULU, 7 Oktober: Projek pembinaan bumbung tapak perhimpunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu dijangka dimulakan bulan ini dan siap sepenuhnya pada Oktober 2027.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata projek berkenaan turut melibatkan kerja menaik taraf pentas, bilik audio visual (AV), sistem perparitan, skrin diod pemancar cahaya (LED), sistem pembesar suara (PA) serta kemudahan berkaitan.

Menurutnya, kemudahan yang dinaik taraf itu akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 pelajar dan warga sekolah.

“Projek ini bukan sekadar pembinaan bumbung, malah merangkumi pelbagai kerja naik taraf bagi menyediakan ruang aktiviti yang lebih selesa dan lengkap kepada warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi penyelarasan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu, semalam.

Johnny Pang berkata aspek keselamatan dan penyelarasan dengan pihak sekolah perlu diberi keutamaan memandangkan kerja pembinaan akan dilaksanakan dalam kawasan sekolah.

Katanya, perkara itu lebih penting memandangkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal berlangsung, sekali gus memerlukan penyelarasan rapi bagi memastikan kerja pembinaan tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran serta kelancaran peperiksaan.

“Kontraktor perlu memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi dan sentiasa berkoordinasi dengan pihak sekolah bagi meminimumkan gangguan terhadap aktiviti sekolah dan peperiksaan,” katanya.

Oleh Carolyne Utih