SARIKEI, 7 Oktober: Sarawak tidak berdepan masalah dari segi peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan, namun jumlah projek yang terlalu banyak menyebabkan kapasiti pelaksanaan termasuk tenaga kerja dan bekalan bahan menjadi antara cabaran yang perlu ditangani.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, keadaan itu menyebabkan pelaksanaan projek perlu dipercepat bagi mengelakkan peningkatan kos serta kekangan mendapatkan bahan binaan.

“Seperti yang Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah tekankan, kita tidak ada masalah dari segi peruntukan untuk membangunkan mana-mana projek di Sarawak pada masa ini, terutama sekali projek yang berlandaskan infrastruktur jalan raya, jambatan dan mana-mana kemudahan awam dan sebagainya.
“Yang menjadi masalah adalah projek yang terlalu banyak, jadi kapasiti untuk kita laksanakan adalah kadang-kadang terhad.
“Terutama sekali dari segi tenaga kerja dan dari segi bahan, terutama sekali dalam keadaan ekonomi yang ada sekarang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Bina Jalan Spur dari Sare ke Jalan Sentebu/Bukit Kinyau dan Penyerahan Cek Pampasan Tanah, hari ini.
Len Talif yang juga Pengerusi RADDA berkata, faktor masa perlu diberi perhatian kerana kelewatan pelaksanaan berpotensi meningkatkan kos sesuatu projek.
“Oleh sebab itulah, saya memberi penekanan kepada projek supaya ia dapat dilaksanakan secepat yang mungkin.
“Kalau lama sangat, kos akan meningkat, ataupun bahan untuk kita membangunkan infrastruktur akan berkurang, saingannya banyak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, projek Jalan Spur dari Sare ke Jalan Sentebu/Bukit Kinyau sepanjang 2.7 kilometer melibatkan kos kira-kira RM17 juta.
Beliau turut mengingatkan bahawa kelancaran sesuatu projek bukan hanya bergantung kepada peruntukan, aspek teknikal dan proses pengambilan tanah, tetapi memerlukan kerjasama masyarakat dalam menangani isu yang mungkin timbul di lapangan.
“Inilah yang saya minta supaya ketua kaum, ketua masyarakat dan tuai rumah supaya dapat membantu untuk melancarkan lagi pelaksanaan projek ini supaya dapat disiapkan dalam masa yang telah dijadualkan iaitu dalam masa 12 bulan sahaja,” katanya lagi.
Mengenai pengambilan tanah, beliau berkata, kerajaan Sarawak membayar pampasan berdasarkan nilai yang ditentukan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
“Dalam kita melaksanakan projek, kita mengambil tanah bukannya percuma, akan beri pampasan mengikut nilai yang dinilaikan oleh JTS.
“Mungkin ada juga orang yang tidak beberapa setuju dengan nilai tersebut.
“Ia ada kaedah tertentu untuk kita melihat bagaimana pampasan ini dapat diselesaikan untuk situasi menang-menang untuk semua pihak,” tambahnya.
Len Talif turut merakamkan penghargaan kepada Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei, Ingenieur Teknologis Kennedy Kedo, RADDA dan JTS Sarikei atas kerjasama dalam merealisasikan projek tersebut.
Oleh Earl Anek





