Hijjaz uji stamina, bakal hidang 32 lagu dalam Konsert 3 Dekad: Rindu Sumayyah

Facebook
WhatsApp
TIGA dekad berkarya dalam dunia nasyid bukan tempoh yang singkat, namun usia bukan alasan buat Hijjaz memperlahankan langkah. Sebaliknya, kumpulan nasyid legenda itu bakal menguji ketahanan fizikal dan vokal menerusi persembahan lebih 30 lagu pada Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah di Istana Budaya di sini, 16 dan 17 Okt ini. Penyanyi utama Hijjaz, Munif Ahmad mengakui persiapan kali ini cukup mencabar, apatah lagi sebahagian besar persembahan akan dipimpin beliau sendiri. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Oktober: Tiga dekad berkarya dalam dunia nasyid bukan tempoh yang singkat, namun usia bukan alasan buat Hijjaz memperlahankan langkah.

Sebaliknya, kumpulan nasyid legenda itu bakal menguji ketahanan fizikal dan vokal menerusi persembahan lebih 30 lagu pada Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah di Istana Budaya di sini, 16 dan 17 Oktober ini.

Penyanyi utama Hijjaz, Munif Ahmad mengakui persiapan kali ini cukup mencabar, apatah lagi sebahagian besar persembahan akan dipimpin beliau sendiri.

“Ini julung kali Hijjaz akan menyampaikan hingga 32 buah lagu dalam satu persembahan, tidak termasuk lagu persembahan duet bersama-sama dengan artis jemputan. Jujurnya timbul rasa risau juga sebab kami tidak pernah menyampaikan lagu sebanyak ini dalam satu ‘show’.

“Di peringkat umur begini kami perlu banyakkan bersenam, mengamalkan rutin harian yang sihat dan selebihnya berserah kepada Allah agar dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya pada sidang media konsert berkenaan di Istana Budaya di sini.

Selain cabaran jumlah lagu, konsert berkenaan turut membawa Hijjaz mengimbau nostalgia apabila beberapa lagu yang sudah lebih 20 tahun tidak dipersembahkan di pentas akan kembali dengan nafas baharu.

Munif berkata kumpulan itu telah memulakan latihan sesama mereka sejak awal bulan ini, manakala latihan dengan pemuzik dan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang dianggotai lebih 40 pemuzik dijangka bermula pada 8 Oktober.

“Ini kali pertama Hijjaz bakal diiringi oleh orkestra berskala besar melebihi 40 orang pemuzik. Perasaan itu memang sangat teruja, dan dalam masa sama tidak boleh dibayangkan lagi bagaimana rasanya apabila berada di atas pentas nanti. Apa yang pasti, kami akan berikan yang terbaik,” katanya.

Konsert anjuran Inteam Records dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Istana Budaya itu dibahagikan kepada empat segmen, dengan susunan muzik baharu yang dijangka memberi dimensi berbeza kepada karya popular kumpulan berkenaan.

Lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Sumayyah, Fatamorgana dan Rasulullah, selain segmen khas menerusi lagu Kau Sahabat Kau Teman bagi mengenang bekas ahli, Allahyarham Saleh Ramli serta rakan penggiat industri yang telah meninggal dunia.

Lebih istimewa, pentas berkenaan turut menemukan anggota Hijjaz dengan kumpulan anak didik mereka seperti Inteam, UNIC, Mestica dan Aeman menerusi persembahan duet.

Ahli Hijjaz, Isman Nadim Isam berkata faktor usia serta julat nada lagu yang tinggi menuntut mereka lebih berdisiplin dalam menjaga stamina dan kualiti vokal sepanjang pementasan dua malam itu.

“Keutamaan kami adalah pada aspek stamina dan kawalan penafasan, justeru, latihan fizikal seperti rutin larian pagi menjadi kewajipan ketika ini.

“Pada masa sama, persembahan turut dipandu oleh pengarah pentas serta skrip khas bagi memastikan tempoh penyampaian serta komunikasi dengan penonton kekal terkawal,” katanya.

Bagi menambah pengalaman pengunjung, penganjur turut menyediakan ‘Souq Rindu Sumayyah’ di lobi Istana Budaya yang menempatkan Galeri Hijjaz, mempamerkan koleksi barangan, pakaian dan bahan sejarah kumpulan itu, selain ruang pentas khas ‘Nasheed GenZ’.

Bersempena dengan ulang tahun ke-30 penglibatan mereka dalam industri seni, Hijjaz turut mengumumkan pelancaran album baharu mengandungi enam lagu di bawah label Inteam Digital, sekali gus menamatkan penantian 17 tahun untuk penerbitan album studio penuh.

Isman berkata album berkenaan mengetengahkan kepelbagaian genre termasuk irama inang, joget, pop dan Arab, dengan lagu pertaruhan utama, Akhir Bersamamu, diberi sentuhan susunan muzik moden bagi menarik minat pelbagai lapisan pendengar.- Bernama