SIBU, 7 Oktober: Hak Sarawak terhadap sumber minyak dan gas tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan nilai ringgit dan sen, sebaliknya perlu dilihat dari sudut hak perlembagaan dan undang-undang negeri.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Ir. Christopher Gira Sambang berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian kerajaan Sarawak dalam mempertahankan hak negeri itu terhadap sumber minyak dan gas.
Beliau berkata, kenyataan bekas Menteri Undang-Undang Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang mempersoalkan kedudukan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengagregat gas Sarawak serta mencadangkan bahawa peranannya sebagai pengagregat gas Sarawak boleh menyebabkan Petronas kehilangan perniagaan bernilai berbilion ringgit, tidak seharusnya mengalih perhatian kita daripada isu asas.
“Isu ini bukan mengenai usaha melemahkan Petronas atau Sarawak menentang Kerajaan Persekutuan, tetapi mengenai pengiktirafan terhadap hak Sarawak, menghormati undang-undang negeri serta mewujudkan kerangka jelas bagi Petros dan Petronas untuk bekerjasama.
“Prinsip kami mudah iaitu hak Sarawak dihormati, Petros memimpin, Petronas menjadi rakan dan Malaysia mendapat manfaat,” jelasnya dalam kenyataan media semalam.
Gira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin berkata, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) yang wujud sebelum pembentukan Malaysia kekal menjadi asas penting kepada pendirian Sarawak berhubung kuasa kawal selia negeri terhadap aktiviti petroleum.
“Pada masa sama, kami mengiktiraf kedudukan Petronas di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974), manakala persoalan berkaitan interaksi antara undang-undang Persekutuan dan Sarawak perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan kehakiman yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, Deklarasi Bersama antara Perdana Menteri dan Premier Sarawak pada 21 Mei 2025 menunjukkan bahawa kerjasama adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan.
“Peranan Petros sebagai satu-satunya pengagregat gas di Sarawak boleh wujud seiring dengan peranan penting Petronas yang berterusan dalam industri petroleum di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Kami tidak mahu memusnahkan atau melemahkan Petronas kerana ia merupakan institusi nasional yang telah memberikan sumbangan besar kepada Malaysia, termasuk menjadi tempat ramai rakyat Sarawak membina kerjaya,” katanya.
Bagaimanapun, Gira menegaskan kerjasama tidak boleh bermakna Sarawak perlu menyerahkan hak yang selama ini dipertahankan secara konsisten.
Katanya, sumber petroleum Sarawak telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Malaysia selama beberapa dekad.
“Justeru adalah munasabah sekiranya sebahagian lebih besar manfaat ekonomi yang dijana daripada sumber berkenaan dikembalikan kepada Sarawak dan dilaburkan demi manfaat jangka panjang rakyatnya,” ujarnya lagi.
“Pemuda PRS mahu melihat lebih banyak hasil minyak dan gas disalurkan kepada pembangunan infrastruktur luar bandar, bekalan air bersih, jalan raya, pendidikan, biasiswa, kesalinghubungan digital, TVET, STEM, kecerdasan buatan (AI) serta peluang pekerjaan untuk golongan muda Sarawak,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, golongan muda Sarawak tidak seharusnya sekadar menjadi pemerhati ketika sumber negeri diekstrak, sebaliknya perlu diberi peluang menjadi jurutera, ahli teknologi, usahawan, golongan profesional dan pemimpin masa depan dalam industri berasaskan sumber berkenaan.
Gira turut menegaskan kepentingan manfaat tersebut dirasai komuniti Dayak di luar bandar, termasuk penyediaan bekalan air terawat, jaringan jalan raya yang baik dan liputan telekomunikasi yang lebih menyeluruh.
“Kekayaan di bawah tanah dan perairan Sarawak akhirnya mesti diterjemahkan kepada peluang kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Sarawak.
“Pemuda PRS berdiri teguh menyokong kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam mempertahankan kepentingan Sarawak.
“Kami percaya kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Petronas perlu berasaskan sikap saling menghormati serta kepastian undang-undang, selain menjunjung semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegasnya.
Oleh Akun Giman




