KUCHING, 6 Oktober: Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun, satu sebatan dan dua tahun pengawasan polis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen 4 Kuching hari ini dan membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mursyida Abd Halim.
Beliau berkata, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Marvind Kaliyani.
Menurut Mohd Haide, hukuman berkenaan menjadi peringatan bahawa kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah tidak dipandang ringan dan tindakan penguatkuasaan akan terus diambil terhadap individu yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Sarawak di talian 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng




