Guna lambang GPS, dakwa diri calon PRN13 adalah mengelirukan rakyat – Harden

Facebook
WhatsApp
DATUK Francis Harden Hollis pada majlis pelancaran KRT baharu bagi KRT Klassen, KRT Undop Tengah dan KRT Batang San. Foto ADUN Simanggang

SIMANGGANG, 6 Oktober: Tindakan individu tertentu yang secara terbuka mendakwa dirinya sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) sebelum keputusan rasmi dibuat disifatkan sebagai satu bentuk penipuan dan cubaan mengelirukan rakyat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, penetapan calon GPS masih belum diputuskan oleh pucuk pimpinan parti, malah wakil rakyat sedia ada masih kekal memegang mandat di kawasan masing-masing.

“Perbuatan individu secara terang-terangan mengaku diri sebagai calon yang diarahkan dari pucuk pimpinan parti, pada hemat saya adalah penipuan semata-mata kerana penetapan calon belum diputuskan lagi dan wakil rakyat yang sedia ada masih kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) baharu bagi KRT Klassen, KRT Undop Tengah dan KRT Batang San, di sini semalam.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, tindakan menggunakan lambang GPS bagi mengukuhkan dakwaan berkenaan boleh mengelirukan masyarakat, khususnya mereka yang menerima maklumat tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

PENGARAH JPNIN Sarawak, Delin Liet Blaun menyampaikan surat kelulusan penubuhan KRT kepada penerima. Foto ADUN Simanggang

“Situasi gerakan individu ini mengambil kesempatan menggunakan lambang GPS untuk mengelirukan rakyat yang tidak berfikiran panjang.

“Pada akhirnya, jika individu ini tidak dipilih sebagai calon GPS, mereka akan bertanding sebagai calon bebas dan mungkin bertukar arah dengan memburukkan GPS serta calon yang dipilih,” ujarnya.

Dalam pada itu, Harden mengulangi pendiriannya bahawa beliau masih merupakan wakil rakyat GPS dan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerusi GPS-Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Kenyataan itu sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu yang mendakwa sudah mendapat pengiktirafan sebagai calon GPS untuk menghadapi PRN13 akan datang.

Sementara itu, Harden turut menyentuh mengenai peranan Tuai Rumah yang diiktiraf kerajaan, terutama dalam memastikan penghuni rumah panjang tidak tercicir daripada menerima bantuan serta kemudahan yang disediakan.

Katanya, Tuai Rumah yang mempunyai bidang kuasa perlu mengambil iktibar daripada situasi yang berlaku di sekeliling mereka supaya tugas dan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Mengenai usaha mewujudkan bidang kuasa baharu bagi Tuai Rumah, beliau berkata syarat utama yang perlu dipenuhi ialah rumah panjang berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya 20 pintu selain mengemukakan minit mesyuarat bagi permohonan bidang kuasa melalui Pejabat Daerah.

Mengulas mengenai penubuhan KRT pula, Harden berkata agensi berkenaan merupakan salah satu platform kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dalam usaha mewujudkan persekitaran kejiranan yang selamat, harmoni dan bersatu padu.

Beliau berkata, penubuhan KRT amat penting dalam memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum selain menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kejiranan.

“Untuk rekod, sebanyak 1,100 KRT telah ditubuhkan di Sarawak, manakala Bahagian Sri Aman mempunyai 64 KRT,” katanya.

Harden turut merakamkan penghargaan kepada JPNIN Bahagian Sri Aman yang membantu proses permohonan penubuhan KRT di kawasan DUN Simanggang.

Daripada lima permohonan KRT yang dikemukakan, tiga KRT iaitu KRT Klassen, KRT Undop Tengah dan KRT Batang San telah diluluskan.

Beliau turut mengingatkan semua KRT yang diluluskan supaya menyediakan perancangan aktiviti tahunan yang tersusun, khususnya program yang mampu mengeratkan hubungan persaudaraan serta menjadi platform penyampaian dasar kerajaan kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengarah JPNIN Sarawak, Delin Liet Blaun berkata pihaknya mempunyai perancangan untuk memudah cara proses pengeluaran geran tahunan kepada KRT supaya tidak terlalu dibebani prosedur yang ketat.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan KRT dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti secara konsisten dan lancar demi manfaat masyarakat setempat.

Pada majlis sama, Harden meluluskan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 setiap satu kepada KRT Klassen, KRT Undop Tengah dan KRT Batang San.

Oleh Adi Safarman