Aidil harap sorakan penyokong gerunkan Tampines dalam misi raih tiga mata

Facebook
WhatsApp
AIDIL Sharin Sahak pada sidang media praperlawanan ACC Piala Shopee Asean di Stadium Taha Ariffin, di Petra Jaya , hari ini.

PETRA JAYA , 6 Oktober: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berharap sokongan padu penyokong di Stadium Taha Ariffin mampu menjadi kelebihan tambahan buat pasukannya ketika menentang Tampines Rovers dalam saingan Kejohanan Kelab Asean(ACC) Piala Shopee Asean, esok.

Beliau berkata, perlawanan antarabangsa di laman sendiri bukan sesuatu yang sering dinikmati Kuching City, justeru kehadiran penyokong dalam jumlah besar amat penting untuk membantu pemain menghadapi cabaran pasukan Singapura itu.

“Pasukan sangat memerlukan penyokong kerana ini perlawanan pertama kami di laman sendiri. Walaupun ia bukan saingan liga, ini adalah perlawanan antarabangsa.

AIDIL Sharin Sahak bergambar bersama pemain

“Bukan selalu Kuching City beraksi dalam Piala Shopee atau Liga Juara-Juara Asia. Jadi saya mahu penyokong datang dan memberikan sokongan kepada pasukan, tidak kira apa keputusannya, hujan atau panas,” katanya pada sidang media praperlawanan ACC Piala Shopee Asean di Stadium Taha Ariffin, di sini, hari ini.

Aidil turut berharap penyokong hadir dengan mengenakan warna Sarawak bagi mewujudkan suasana lebih meriah dan memberikan tekanan kepada pasukan pelawat sepanjang perlawanan.

Beliau berkata, sorakan daripada penyokong bukan sahaja mampu meningkatkan semangat pemain Kuching City, malah diharapkan dapat memberikan gambaran kepada pasukan lawan bahawa Kuching City mempunyai sokongan kuat di laman sendiri.

“Saya harap kita dapat melihat satu atau dua warna Sarawak untuk memberikan sokongan kepada pasukan dan membuatkan pihak lawan berasa gerun.

“Apabila mereka keluar dari stadium nanti, mereka tahu bahawa penyokong Kuching City sentiasa berada bersama pasukan,” katanya.

Aidil berkata, berdasarkan kelebihan di atas kertas, bermain di laman sendiri sememangnya memberikan sedikit kelebihan kepada Kuching City kerana pemain lebih mengenali padang selain mendapat sokongan keluarga dan penyokong.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu pemain terlalu bergantung kepada kelebihan tersebut atau memandang rendah kemampuan Tampines Rovers yang disifatkannya sebagai pasukan berkualiti dan berpengalaman.

“Kelebihan bermain di laman sendiri memang ada kerana kami mempunyai penyokong dan lebih mengenali padang, tetapi bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Kami tidak boleh memandang rendah lawan.

“Paling penting, kami perlu bermain mengikut pelan permainan dan sentiasa kuat ketika berdepan mana-mana lawan, tidak kira dari mana mereka datang,” katanya.

Dalam pada itu, Aidil mahu pemain Kuching City memasuki padang dengan mentaliti untuk menjadi lebih agresif dan dominan ketika berdepan Tampines Rovers.

Katanya, pemain perlu percaya terhadap kemampuan sendiri dan menggunakan sokongan penyokong sebagai pemangkin untuk memberikan persembahan terbaik.

Sementara itu, pertahanan Kuching City, Rodney Celvin turut berharap penyokong memberikan sokongan penuh kepada pasukan bagi membantu mereka memberikan saingan sengit kepada Tampines Rovers.

“Untuk penyokong, semestinya mereka mahu melihat pasukan mereka pergi lebih jauh. Tetapi seperti yang selalu dikatakan, bukan mudah untuk kita memberikan saingan kepada pasukan-pasukan luar.

“Jadi apa yang mereka boleh harapkan ialah kami mampu memberikan saingan kepada pasukan-pasukan besar dalam pertandingan ini,” katanya.