10,000 tahanan Myanmar dihantar pulang sejak Januari 2026 – Anwar

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Oktober: Seramai 10,000 tahanan warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal mereka sejak Januari tahun ini menerusi laluan udara dan laut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata penghantaran pulang tahanan berkenaan dilaksanakan hasil rundingan dan ikhtiar secara langsung antara Kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Myanmar.

Perdana Menteri berkata penghantaran pulang tahanan warga Myanmar itu bukan sahaja melibatkan etnik Rohingya, tetapi juga membabitkan etnik Arakan, Karen dan Shan.

“Daripada jumlah itu, sebahagiannya dibawa pulang menggunakan pesawat atas inisiatif Kerajaan Myanmar sendiri, manakala baki kira-kira 1,400 orang lagi dihantar pulang menerusi kapal tentera laut negara berkenaan baru-baru ini,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai langkah kerajaan seterusnya dalam menangani isu keberadaan warga Myanmar termasuk pelarian dan pemohon suaka khususnya etnik Rohingya di negara ini.

Beliau menegaskan Malaysia merupakan negara pertama yang berjaya menghantar pulang tahanan warga Myanmar ke negara asal mereka menerusi pendekatan rundingan serta diplomatik secara berkesan.

“Setakat saya faham, Malaysia adalah negara pertama yang berjaya membawa pulang rakyat Myanmar ke negara asal mereka,” katanya.

Perdana Menteri turut menjelaskan proses penghantaran pulang tahanan berkenaan dilaksanakan secara sukarela dengan persetujuan individu terbabit menerusi dokumen rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menjamin keselamatan serta hak asasi mereka.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang ingin tahu kedudukan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pengeluaran kad pelarian di negara ini, beliau berkata penglibatan badan itu merupakan isu legasi yang diperkenalkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu.

Beliau berkata sebarang usaha untuk meminda peraturan sedia ada memerlukan proses rundingan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tindakan Malaysia dilihat sentiasa mematuhi dan tidak mengetepikan piawaian serta peraturan antarabangsa.

Namun, Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan usaha menghantar pulang tahanan warga Myanmar atau pentadbiran negara diatur oleh pihak lain mahupun pegawai dari luar.

“Urusan negara kita harus dikendalikan oleh jentera kita sendiri dan tidak diatur oleh pegawai-pegawai dari luar untuk menentukan siapa yang layak atau tidak layak,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkaitan perniagaan haram dikendalikan warga asing, Anwar menegaskan agensi penguatkuasaan akan mengetatkan kawalan dan tidak teragak-agak membatalkan lesen perniagaan warga tempatan yang didapati disewakan kepada warga asing.

Pada 29 Julai lepas, Perdana Menteri berkata Myanmar bersetuju untuk menerima semula kira-kira 5,000 tahanan warga Myanmar yang kini berada di Malaysia hasil rundingan dan hubungan baik kedua-dua negara.

Susulan itu, fasa pertama program penghantaran pulang dilaksanakan pada 29 September lepas melibatkan 1,476 tahanan warga Myanmar dengan menggunakan tiga kapal termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar. – Bernama