YAN: Kerajaan terutama agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri tidak harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya berkaitan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) lebih-lebih lagi apabila semakin banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua pihak harus bersama memainkan peranan dengan menjadikan amalan mematuhi SOP sebagai perkara biasa, apatah lagi apabila wabak Covid-19 diumumkan sebagai endemik nanti.
“Saya mewakili KDN yang bertanggungjawab terhadap pematuhan SOP, kerja kami bukan hanya jaga SOP tapi kami nak juga lihat dari segi kehidupan agar ia benar-benar seimbang. Kalau kami hanya kerja nak sekat orang, kesalahan tak ikut SOP, itu sesuatu yang amat kecil.
“Biarlah kita mempunyai strategi yang lain menjaga sempadan, jaga tempat pintu masuk, jaga mereka yang cuba ceroboh bawa dadah dan sebagainya, begitu juga mereka yang cuba masuk melalui sempadan kita. Biar fokus kami kepada itu,” katanya, dalam sidang media di sini semalam.
Terdahulu beliau mendengar taklimat mengenai bencana banjir dan fenomena kepala air Gunung Jerai yang disampaikan Pegawai Daerah Yan Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah serta meninjau kawasan yang terjejas di Titi Hayun di sini.
Hamzah berkata, kerajaan juga tidak harus dipersalahkan sekiranya ada pihak tidak memainkan peranan dalam menjaga SOP termasuk majikan yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab itu ke atas pekerja mereka.
Saya bagi contoh, kalau kilang dibenarkan beroperasi, siapa yang sepatutnya menjaga SOP, pihak pengurusan, tetapi hari ini mengapa pulak kita salahkan kerajaan kerana tak menjaga SOP, kata nya. — Bernama