KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) berkata ia akan terus memperkukuh saranan nilainya sebagai organisasi bersedia untuk masa depan dan berada pada kedudukan baik untuk menarik tenaga kerja terbaik, menggunakan teknologi paling inovatif dan memberi hasil yang mampan kepada pihak berkepentingan.
Pengarah Urusan kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha berkata memandangkan SDP meneruskan perjalanannya bagi 2020 dan tempoh yang selanjutnya, tanggung jawab utama syarikat adalah supaya perniagaan dan kakitangan bersedia menguruskan risiko ekonomi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus dengan cekap.
“Peranan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di kumpulan ini adalah sangat penting untuk memikirkan kaedah baharu yang akan membolehkan syarikat memenuhi keperluan pelbagai pihak berkepentingan dan menyumbang kepada penyelesaian pelbagai cabaran global seperti penebangan hutan dan keselamatan makanan untuk penduduk dunia yang semakin meningkat.
“Pada tahun kewangan 2019, pasukan R&D kami berada pada kedudukan untuk menanam lebih 2,300 hektar sawit GenomeSelectTM di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia dan memulakan ujian pengeluaran benih sawit induk GenomeSelect,” katanya dalam laporan tahunan SDP 2019 yang dikeluarkan semalam.
Dengan sasaran untuk memenuhi keperluan penanaman semula sawit di Malaysia sepenuhnya menjelang 2023, beliau berkata penemuan ulung baka sawit yang membolehkan peningkatan hasil sebanyak 15 peratus ke atas adalah material penanaman terbaik yang akan menjadi satu lagi pengubah agar perniagaan dan prestasi terus bertahan.
Mengenai masa depan, beliau berkata kumpulan itu akan terus memberi tumpuan untuk menambah baik pelaksanaan pelbagai strategi dan insiatif penciptaan nilai dan yang telah dikenal pasti untuk mencapai portfolio huluan dan hiliran yang seimbang.
“Operasi huluan kami akan terus meningkatkan kecemerlangan operasi dengan strategi penanaman lebih pantas, amalan pertanian terbaik serta automasi, penjenteraan dan pendigitalan yang lebih baik,” kata Mohamad Helmy.
Mengenai Sime Darby Oils (SDO), beliau berkata bidang tumpuan utama adalah menyusun semula produk, penggunaan dan mengoptimumkan aset, memperkukuh rangkaian rantaian bekalan bagi kesalinghubungan yang lancar dan meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi langkah-langkah peningkatan produktiviti dan kecekapan.
“Saya yakin, semua inisiatif yang berterusan ini akan menyumbang secara positif kepada kedudukan lembaran imbangan kami di samping membantu kumpulan menjadi lebih kukuh dan berdaya tahan terhadap pelbagai kesan luaran.
“Di sebalik ketidaktentuan global yang sedang kita hadapi akibat pandemik Covid-19, saya yakin apa yang telah capai oleh kumpulan ini pada tahun kewangan 2019 akan menjadi lebih kukuh pada 2020 dan tempoh selanjutnya,” kata beliau.
Mohamad Helmy berkata kumpulan itu akan terus melaksanakan piawaian, etika dan integriti yang tinggi, amalan terbaik dan daya tahan industri untuk terus meningkatkan pertumbuhan yang mampan. – Bernama