LONDON, 5 Oktober: Formula Satu (F1) digesa meneliti semula peraturannya susulan gangguan perisian luar biasa yang membayangi Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia pada Ahad, lapor PA Media/dpa.
Enjin baharu musim ini yang menggunakan nisbah kuasa 50-50 antara pembakaran dan bateri sudah menerima kritikan hebat.
Peraturan sukan itu yang menjadi pertikaian sekali lagi mendapat perhatian selepas beberapa pelumba berdepan kegagalan teknikal menjelang perlumbaan pada Ahad yang terjejas akibat hujan sehingga menyebabkan permulaan perlumbaan terpaksa dibatalkan.
Perlumbaan itu akhirnya bermula lewat satu jam 33 minit daripada jadual.
Juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton, yang jentera Ferrarinya mengalami kerosakan sementara, menyamakan situasi memalukan itu dengan perlumbaan Lego menjelang GP Britain pada Julai.
Pelumba Mercedes George Russell berkata situasi itu ‘tidak terasa seperti F1’, sambil menambah: “Saya pasti kecewa jika berada di tempat duduk penonton dan menyaksikan perkara itu berlaku.”
Pelumba Williams Carlos Sainz, yang juga pengarah Persatuan Pelumba Grand Prix, kini meningkatkan lagi tekanan terhadap sukan itu.
Pelumba Sepanyol berusia 32 tahun yang pernah berlumba untuk Ferrari dan McLaren itu berkata: “(F1) perlu meneliti secara serius bagaimana kita boleh berada dalam situasi ini.
“Jelas sekali peraturan itu amat rumit bagi pelumba, pasukan, unit kuasa dan pengeluar. Siapa yang memutuskan lima tahun lalu bahawa ini hala tuju yang perlu diambil?
“Kami melakukan yang terbaik dengan apa yang diberikan kepada kami sebagai sebuah sukan dan dari segi peraturan. FIA dan F1 melakukan yang terbaik, tetapi jelas sekali keputusan yang dibuat empat atau lima tahun lalu adalah salah. Sebagai sebuah sukan, kita perlu mengambil iktibar supaya kesilapan itu tidak berulang.”
FIA memaklumkan pihaknya melancarkan “semakan menyeluruh” terhadap kekecohan itu selepas “gabungan luar biasa kelajuan enjin rendah, keadaan cengkaman rendah, tetapan pengurusan tenaga ketika cuaca basah dan konfigurasi sektor Litar Sepang menyebabkan beberapa jentera kehilangan kuasa secara tidak disengajakan”.
Musim F1 akan diteruskan di Singapura minggu ini bagi pusingan terakhir daripada tiga perlumbaan berturut-turut.
Kegagalan pelumba Britain Russell menamatkan perlumbaan di Malaysia menyebabkan beliau ketinggalan 84 mata di belakang rakan sepasukan Kimi Antonelli dalam kedudukan kejuaraan, dengan hanya tujuh pusingan berbaki dan 183 mata masih boleh diraih. – Bernama




