SIMUNJAN, 5 Oktober: Operasi pemadaman kebakaran sebuah rumah panjang lama di Kampung Tegelam, Simunjan, selesai selepas hampir empat jam, dengan keseluruhan struktur bangunan berkenaan musnah dan tiada mangsa dilaporkan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, kebakaran rumah panjang tidak berpenghuni itu berjaya dikawal pada 5.04 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.10 malam selepas pemeriksaan akhir mendapati keadaan selamat.
Pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.57 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan tiba di lokasi pada 3.11 petang.
Rumah panjang jenis tidak kekal itu berukuran kira-kira 80 meter panjang dan 30 meter lebar, dengan keseluruhan strukturnya musnah dalam kebakaran berkenaan.
Hasil pemeriksaan awal dan maklumat daripada Ketua Kampung Tegelam mendapati rumah panjang tersebut merupakan bangunan lama yang tidak berpenghuni.
Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tengah rumah panjang sebelum merebak hingga ke hujung struktur berkenaan.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan sebuah pam angkut dengan sumber air terbuka dari sungai.
Sebanyak dua aliran salur sepanjang 91 meter dengan dua muncung air digunakan bagi kerja pemadaman.
Selepas api berjaya dikawal, anggota menjalankan kerja-kerja sawar-sawar bagi memastikan tiada lagi punca api atau bara yang boleh menyebabkan kebakaran semula.
Operasi membabitkan sembilan anggota BBP Simunjan, sebuah jentera pemadam kebakaran dan penyelamat serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.
Turut membantu operasi ialah dua anggota Pejabat Daerah, dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat anggota Sarawak Energy Berhad (SEB).
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.




