KUALA LUMPUR: Memulihkan keyakinan ekonomi dan meningkatkan permintaan domestik perlu menjadi keutamaan kerajaan dalam Belanjawan 2022, kata Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India (MAICCI).
Setiausaha Agung MAICCI Datuk A.T. Kumararajah berkata kerajaan perlu meningkatkan usaha dan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perniagaan besar supaya pemulihan ekonomi berada di landasan dan terus berkembang pada 2022.
“Ketika kita berusaha mencapai pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran gangguan besar yang sedang kita hadapi ketika ini, kita harus mempunyai pelan yang mengkaji bidang baharu pertumbuhan perniagaan,” katanya dalam program Mid-day Update Bernama TV semalam.
Kumararajah berkata kerajaan harus memfokuskan untuk mengembalikan keyakinan pengguna terhadap industri seperti pelancongan dan runcit bagi memastikan ekonomi dapat berkembang seawal suku pertama tahun depan.
“Perlu untuk melihat apa yang telah berubah secara kekal dalam pendekatan pasca pandemik dan juga memberi tumpuan kepada peningkatan pendigitalan yang dapat membantu perniagaan kembali ke landasan untuk pertumbuhan mereka,” katanya.
– Bernama