Ketua Kaum digesa pacu aktiviti ekonomi di kampung, rumah panjang

Facebook
WhatsApp
MAJANG (tengah) bergambar bersama 20 Ketua Kaum yang menerima pelantikan pada Majlis Penyerahan Sijil Ketua Kaum di Pejabat Residen Bintulu, hari ini.

BINTULU, 5 Oktober: Ketua Kaum digesa memainkan peranan lebih aktif dalam merancang dan menggerakkan aktiviti ekonomi di kampung serta rumah panjang bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi berkata, Biro Ekonomi dan Biro Pembangunan perlu dimanfaatkan sebagai platform untuk merancang pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Katanya, aktiviti berkenaan boleh melibatkan pelbagai bidang termasuk pertanian, perniagaan dan jual beli mengikut kesesuaian serta potensi kawasan masing-masing.

“Biro Pembangunan dan Biro Ekonomi penting untuk kita merancang bagaimana penduduk kampung dapat menjalankan apa jua pembangunan yang membawa manfaat kepada penduduk.

“Apa juga ekonomi, sama ada dari segi pertanian, jual beli dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Ketua Kaum di Pejabat Residen Bintulu, di sini hari ini.

Majlis berkenaan menyaksikan seramai 20 individu dilantik sebagai Ketua Kaum, membabitkan 18 pelantikan semula dan dua lantikan baharu.

Menurut Majang, peranan Biro Ekonomi dan Biro Pembangunan semakin penting terutama di kawasan yang mempunyai perkembangan industri dan pembangunan yang pesat.

Katanya, perkembangan tersebut perlu dimanfaatkan oleh penduduk setempat dengan mewujudkan aktiviti ekonomi yang boleh memberi peluang menjana pendapatan.

“Kalau kawasan kita ini kawasan industri dan kawasan pembangunan, Biro Ekonomi dan Biro Pembangunan ini penting untuk kita sama-sama menikmati pembangunan yang berlaku.

“Ramai orang datang dan wujud pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh membantu pendapatan rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata, setiap biro yang ditubuhkan juga perlu mempunyai perancangan jelas dan melaksanakan aktiviti secara berterusan, bukan sekadar diwujudkan untuk memenuhi struktur organisasi kampung atau rumah panjang.

Katanya, perancangan aktiviti boleh dibentangkan dalam mesyuarat bagi memastikan setiap biro mengetahui peranan masing-masing serta sasaran yang ingin dicapai sepanjang tahun.

Dalam pada itu, Majang turut menggalakkan Ketua Kaum menubuhkan jawatankuasa kecil lain mengikut keperluan masyarakat, termasuk jawatankuasa belia, keselamatan, pendidikan, kebersihan dan agama.

Menurutnya, penglibatan penduduk dalam pelbagai jawatankuasa dapat memperkukuh kerjasama komuniti selain memberi peluang kepada lebih ramai penduduk menyumbang kepada pembangunan kampung dan rumah panjang.

Beliau berharap Ketua Kaum yang dilantik semula dan baharu dapat menggunakan amanah yang diberikan untuk membantu meningkatkan kesejahteraan serta taraf ekonomi penduduk di kawasan masing-masing.

Oleh Faizah Muzidi