KUALA LUMPUR, 5 Oktober: Belanjawan 2027 dijangka mengutamakan pemilikan rumah dan perumahan mampu milik, dengan kerajaan berkemungkinan menumpukan perhatian kepada dasar perumahan sedia ada berbanding memperkenalkan sebarang perubahan besar, menurut Apex Securities.
Menurut firma penyelidikan tersebut, sokongan terhadap pembeli rumah kali pertama dijangka diteruskan menerusi pengecualian duti setem, bantuan pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di samping skim sewa untuk beli dan skim pemilikan bersama.
“Had jaminan SJKP sebanyak RM20 bilion yang ditetapkan dalam Belanjawan 2026 boleh diperluaskan kepada golongan muda Malaysia, mereka yang bekerja sendiri dan pembeli yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kovensional, selain kerajaan terus menyokong skim sewa untuk beli dan pemilikan bersama,” jelas Apex Securities dalam laporan terkini mengenai sektor hartanah dan Belanjawan 2027 yang dikeluarkan hari ini.
Menurut firma itu, Belanjawan 2027 harus mula menyalurkan sumber bagi melaksanakan Dasar Perumahan Negara 2026-2035, terutamanya perumahan mampu milik, dengan sasaran menyediakan satu juta unit rumah mampu milik menjelang 2035 dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kekal sebagai teras utama.
“Kami menjangkakan pelaksanaan akan tertumpu kepada program perumahan mampu milik tambahan, penggunaan tanah awam yang lebih meluas dan peningkatan penglibatan sektor swasta, dengan penawaran yang diselaraskan mengikut permintaan dan kemampuan tempatan,” jelas firma itu.
Selain itu, Apex Securities turut menjelaskan bahawa projek infrastruktur, khususnya LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara, berpotensi menyediakan sokongan jangka panjang terhadap permintaan hartanah, sekali gus memanfaatkan pemaju yang memiliki simpanan tanah di sepanjang atau berhampiran koridor tersebut.
Pada masa sama, firma itu mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap sektor hartanah, dengan E&O dan Paramount sebagai pilihan utama, dengan harga sasaran masing-masing sebanyak RM0.97 dan RM1.51. – Bernama




