MIRI, 5 Oktober: Kebocoran gas bawah tanah dikesan di sebuah tapak ladang sawit di Kuala Baram, di sini, pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.54 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bersama sebuah jentera FRT dikerahkan ke lokasi.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada 11.14 pagi dan mendapati kebocoran gas bawah tanah memang berlaku.
Menurutnya, kejadian itu dilaporkan berlaku sejak Sabtu lalu ketika kerja penggerudian dilakukan sehingga kedalaman 28.5 meter.
“Hasil pemeriksaan mendapati bacaan gas menurun daripada 10 peratus kepada lima peratus, manakala bacaan gas direkodkan pada 30 peratus LEL,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan pemantauan dan pengujian gas secara berterusan bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Susulan penilaian di lokasi, semua aktiviti di kawasan kejadian diarahkan dihentikan serta-merta dan tiada sebarang aktiviti dibenarkan sehingga keadaan disahkan selamat.
Pemantauan serta pengujian gas akan dijalankan semula pada 8.00 pagi esok.
Operasi yang bermula pada 11.14 pagi itu ditamatkan pada 12.40 tengah hari, manakala tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Operasi turut dibantu Sarawak Energy Berhad dan Geospec Sdn Bhd.
Oleh Liong Chai Ling




