KUCHING, 5 Oktober: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak mencadangkan kerajaan Sarawak menyediakan bonus antara RM300 hingga RM500 setahun kepada pekerja sektor swasta melalui e-dompet dalam Belanjawan Negeri akan datang.
Cadangan itu bertujuan memperluas manfaat belanjawan negeri kepada golongan pekerja, khususnya pekerja swasta dan separuh mahir yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
MTUC Sarawak berkata, penyaluran bantuan menerusi e-dompet boleh menjadi mekanisme lebih inklusif, selain mengekalkan rebat utiliti dan subsidi kos sara hidup bagi membantu mengurangkan beban kewangan pekerja.
Menurutnya, kerajaan Sarawak sebelum ini telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat antara 2020 hingga 2025, termasuk subsidi utiliti asas, bantuan tunai pasca COVID-19, subsidi internet, sokongan pendidikan, rebat bil elektrik dan air serta bantuan RM1,200 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
“MTUC menyambut baik usaha kerajaan negeri menyediakan pelbagai bentuk bantuan rakyat, namun prinsip keadilan sosial wajar memastikan manfaat belanjawan negeri dapat dirasai semua pekerja Sarawak, termasuk sektor swasta,” menurut kenyataan itu.
Selain bonus melalui e-dompet, MTUC turut mencadangkan subsidi kos sara hidup antara RM50 hingga RM100 sebulan bagi pembelian barangan asas seperti beras, minyak masak, susu dan gas memasak.
Kerajaan negeri juga diseru mengekalkan rebat 25 peratus bagi bil elektrik dan air kepada isi rumah pekerja sebagai langkah mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Bagi menyokong pendidikan dan pembangunan kemahiran, MTUC mencadangkan bantuan RM200 hingga RM300 setahun untuk keperluan pendidikan anak pekerja serta baucar RM500 hingga RM1,000 setahun bagi mengikuti latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kursus kemahiran digital.
Dalam pada itu, MTUC menyokong pelaksanaan Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH) bagi penjawat awam dan menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta sektor swasta mempertimbangkan imbuhan seumpama itu.
Menurut MTUC, langkah berkenaan bukan sahaja membantu kebajikan pekerja, malah dapat mewujudkan hubungan industri yang lebih harmoni apabila pekerja swasta turut menikmati manfaat pembangunan negeri.
MTUC berkata, sokongan terhadap tenaga kerja juga penting dalam memperkukuh produktiviti Sarawak, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan pembuatan.
Sehubungan itu, MTUC menggesa Premier Sarawak mempertimbangkan cadangan berkenaan dalam Belanjawan Negeri akan datang, termasuk pelaksanaan bonus pekerja melalui e-dompet serta pengekalan rebat 25 peratus bagi bil elektrik dan air.




