Empat bulan berlatih, anggota PGA Sarawak muncul juara Mr. Malaysia

Facebook
WhatsApp
KPL Mohd. Al Badrul Abu bergambar sambil memegang trofi selepas dinobatkan sebagai juara kategori Fizikal Sukan Lelaki 170 sentimeter ke atas.

KUCHING, 4 Oktober: Pengorbanan selama empat bulan menjalani latihan intensif membuahkan hasil apabila Koperal Mohd. Al Badrul Abu dari Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa, Briged Sarawak muncul juara kategori Fizikal Sukan Lelaki (Men’s Sports Physique) 170 sentimeter ke atas pada Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Mr. Malaysia Ke-55 di Alor Setar, Kedah.

Lebih mencabar, persiapan Mohd. Al Badrul turut diuji dengan cabaran ketika menjalani diet serta gangguan kesihatan sebelum beliau berjaya menampilkan prestasi terbaik pada pertandingan berkenaan.

Beliau berkata kejayaan itu amat bermakna selepas segala usaha, kesungguhan dan pengorbanan sepanjang tempoh persiapan akhirnya membuahkan hasil.

“Alhamdulillah, sepanjang empat bulan latihan pada pertandingan kali ini saya meraih tempat pertama dalam kategori Fizikal Sukan Lelaki 170 sentimeter ke atas dan saya amat bersyukur dan gembira kerana segala usaha dan susah payah saya sepanjang latihan, cabaran semasa diet dan gangguan kesihatan semasa latihan akhirnya membuahkan hasil,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Menurutnya, persiapan untuk kejohanan itu dilakukan selepas beliau pulang daripada mewakili negara pada Kejohanan Bina Badan dan Fizikal Asia Tenggara Ke-20 (20th South East Asian Bodybuilding & Physique Championship) yang berlangsung dari 14 hingga 18 Mei lalu di Yangon, Myanmar.

KPL Mohd. Al Badrul Abu bersama pemenang lain selepas selesai pertandingan kategori Fizikal Sukan Lelaki 170 sentimeter ke atas.

Pada kejohanan berkenaan, beliau menduduki tempat kelima dalam kategori Fizikal Lelaki (Men’s Physique) sehingga 170 sentimeter.

Mohd. Al Badrul berkata disiplin menjalani latihan secara konsisten menjadi antara faktor penting dalam persiapannya, dengan tiga sesi latihan sehari di TurboFitness Matang, Kuching, iaitu pada sebelah pagi, petang dan malam.

“Setiap sesi latihan memainkan peranan yang amat penting bagi saya, di mana saya akan hadir di salah satu gim terbaik di Kuching, Sarawak iaitu TurboFitness Matang, Kuching, dengan menjalani latihan sehari tiga sesi iaitu pada sebelah pagi, petang dan malam untuk memantapkan lagi fizikal saya untuk dibawa pada hari pertandingan,” ujarnya.

Kejohanan Mr. Malaysia Ke-55 berlangsung dari 1 hingga 4 Oktober, dengan Mohd. Al Badrul mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dinobatkan sebagai juara kategori berkenaan semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan dan Majlis Sukan PDRM, khususnya Pengelola Sukan Bina Badan PDRM, Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis (SAC) Aidil Bolhassan serta barisan pengurusan dan jurulatih bina badan PDRM atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membawa nama PDRM ke peringkat kebangsaan melalui sukan bina badan.

KPL Mohd. Al Badrul Abu meraikan kejayaan selepas dinobatkan sebagai juara kategori Fizikal Sukan Lelaki 170 sentimeter ke atas pada Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Mr. Malaysia Ke-55.

Dalam pada itu, Mohd. Al Badrul mengucapkan terima kasih kepada Komander Briged Sarawak, SAC Lim Bak Phai, Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superintenden Ku Majidin Che Ku Jusoh dan Platun Komander, Inspektor Syed Ahmad Tarmizi Syed Harun kerana memberikan kelepasan tugas bagi membolehkannya menjalani latihan sepanjang tempoh persiapan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatihnya, Coach Buda Ancah dan Coach George Awi William, Setiausaha Bina Badan PDRM, Anuar, Koperal Mohd. Faizal@Jaja, Si Azahar, Sjn Ismadi, Kapten Pasukan PDRM Zmarul Al Adam serta sahabat-sahabat yang banyak membantu dari segi latihan, pemakanan dan kewangan sepanjang tempoh persiapan.

“Tidak lupa juga, setinggi-tinggi terima kasih kepada isteri, anak serta keluarga yang sentiasa mendoakan kejayaan saya dan sentiasa bersabar sepanjang tempoh persiapan saya menuju kejohanan ini,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Kebersihan P-Turn bermula daripada pengguna

BINTULU: Menyediakan plastik sampah sebelum berhenti di P-Turn mungkin kelihatan seperti perkara kecil, namun langkah mudah itu mampu membantu memastikan