Tindakan pantas penghuni padam kebakaran rumah panjang daripada merebak

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN kecil dipercayai berpunca daripada litar pintas berlaku di tingkat atas sebuah rumah panjang di Kampung Lachau Jinggau. Foto PGO Bomba Sarawak

PANTU, 4 Oktober: Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas berlaku di tingkat atas sebuah rumah panjang di Kampung Lachau Jinggau, hari ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.12 petang.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 50 kilometer dari balai berkenaan.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada 5.49 petang dan mendapati kebakaran berlaku di tingkat atas rumah panjang nombor tiga yang mempunyai lima pintu.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas pada pendawaian elektrik, dengan kawasan terjejas dianggarkan hanya sekitar satu peratus atau berukuran dua kaki kali tiga kaki.

PENGHUNI rumah panjang berjaya memadamkan kebakaran menggunakan dua unit alat pemadam api jenis debu kering sebelum ketibaan pasukan bomba. Foto PGO Bomba Sarawak

Bagaimanapun, tindakan pantas penghuni dan orang awam berjaya mengelakkan kebakaran daripada merebak ke bahagian lain rumah panjang berkenaan.

Orang awam memadamkan kebakaran menggunakan dua unit alat pemadam api jenis debu kering sebelum ketibaan pasukan bomba.

Setibanya di lokasi, PKO menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca atau bahaya kebakaran yang boleh mengancam keselamatan penghuni.

Hasil pemeriksaan mendapati lokasi kejadian berada dalam keadaan selamat dan tiada bahaya kebakaran lanjut dikesan.

Operasi dikawal pada 5.55 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 6.30 petang.

KEBAKARAN berlaku di tingkat atas rumah panjang bernombor tiga yang mempunyai lima pintu. Foto PGO Bomba Sarawak

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Operasi diketuai PBK I Edwin Junani dengan kekuatan lapan anggota menggunakan sebuah jentera bomba dan penyelamat (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Seramai empat anggota Sarawak Energy Berhad (SEB) turut terlibat dalam operasi berkenaan.

Oleh Adi Safarman