KUALA LUMPUR: AirAsia Group berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi krisis pandemik Covid-19, disokong oleh kedudukan tunainya serta kekuatan dan nilai jenama, menurut Brand Finance.
Perunding penilaian jenama bebas itu baru-baru ini mengeluarkan laporan tahunannya mengenai jenama syarikat penerbangan paling berharga dan kukuh – the Brand Finance “Airlines 50” for 2020.
Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasifik, Samir Dixit berkata AirAsia adalah salah satu daripada 30 jenama syarikat penerbangan global yang dijangkakan dapat bertahan mengharungi krisis Covid-19.
“Walaupun terdapat beberapa jenama yang mempunyai pertumbuhan nilai jenama yang positif, AirAsia menempatkan kedudukannya sebagai pesaing kuat dengan beberapa jenama terbaik di dunia.
“Ini sudah pasti boleh dikaitkan dengan konsistensi pengalaman jenama dan usaha membina jenama oleh AirAsia kepada semua pelanggan dan pemegang kepentingan yanh lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah ASEAN yang disenaraikan, dengan pertumbuhan dalam nilai jenama sebanyak 15.5 peratus tahun ke tahun, tertinggi di Asia dan kedua tertinggi antara semua syarikat penerbangan global, menjadikannya satu daripada 25 jenama syarikat penerbangan paling berharga di dunia.
Menurut kedudukan 10 Jenama Paling Kukuh dalam laporan itu, AirAsia mempunyai peningkatan dalam nilai jenama tahun ke tahun tertinggi dan merupakan satu daripada empat jenama syarikat penerbangan di dunia yang mempunyai penarafan AAA+, berdasarkan pelaburan pemasaran, kesetiaan, mesra pelanggan, kepuasan kakitangan dan reputasi korporat.
Dalam perkembangan lain, Samir berkata krisis Covid-19 yang berlaku sekarang merupakan ancaman berbahaya kepada syarikat penerbangan dan tidak mudah untuk diuruskan, memandangkan syarikat penerbangan akan bertungkus-lumus untuk mendapatkan kembali permintaan yang merosot dan boleh kehilangan sehingga 20 peratus keseluruhan nilai jenama.
Sementara itu, Presiden Kumpulan AirAsia (Airlines) Bo Lingam berkata pelanggan akan sentiasa menjadi keutamaan syarikat penerbangan itu.
“Kami tidak akan berhenti untuk selalu meletakkan pelanggan kami sebagai teras dari setiap keputusan yang kami buat untuk memastikan kami memberikan nilai terbaik untuk pengalaman perjalanan udara,” katanya.
Minggu lepas, syarikat penerbangan itu menyambung semula penerbangan domestik yang dijadualkan di Malaysia dan Thailand, dengan kawalan kesihatan yang ketat dan protokol penjarakan sosial dilaksanakan dalam mematuhi peraturan setelah melalui tempoh berehat berikutan pandemik Covid-19.
Ia berkata penyambungan semula perkhidmatannya di Filipina, Indonesia, India dan juga Jepun akan dilakukan segera dan akan melibatkan destinasi antarabangsa lain setelah keadaan global bertambah baik dan kerajaan menghentikan sekatan perjalanan dan sempadan. – Bernama