LIMBANG, 3 Oktober: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Bakol berkongsi juadah bubur durian dengan penduduk setempat.
Pengerusi KRT Bakol, Rosni Mumin, berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung yang turut menikmati bubur durian yang diagihkan secara percuma.
“Selain memperkenalkan makanan tradisional dan cita rasa tempatan, program itu turut memberi peluang kepada masyarakat untuk berkumpul, berinteraksi serta mengukuhkan hubungan antara komuniti.

“Penganjuran program seumpama itu juga dilihat mampu menyemarakkan suasana kemasyarakatan, khususnya melalui aktiviti yang mengetengahkan makanan tempatan sebagai sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat setempat,” katanya kepada media hari ini.
Ujarnya bubur durian yang sinonim dengan cita rasa masyarakat di Borneo bukan sahaja menjadi juadah bermusim, malah mampu menjadi medium untuk menghimpunkan masyarakat dalam suasana santai dan penuh kemesraan.
Program pengagihan bubur durian yang bermula 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dijalankan di Masjid Kampung Bakol, Limbang.
Turut hadir, Penolong Pegawai Perpaduan Mohd Hassim Daimon, Ketua Kampung Bakol, Kassim Adam dan Pengerusi PPWS Bakol Hafizah Abdullah.
Oleh Adeng Edrus




