BAU: Polis Daerah Bau berjaya menyelesaikan kes kecurian sebuah dompet di sebuah premis dobi di Pekan Bau pada 25 September lalu dengan menahan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) di kawasan tapak pembinaan Golden Bau Square, Pekan Bau, kira-kira 10.40 malam semalam.
“Dalam soal siasat, hari ini, suspek yang bekerja sebagai penjaga tapak binaan mengaku mengambil dompet yang berada di dalam bakul pakaian di premis dobi berkenaan,” katanya.
Mohd Haide berkata, kejadian berlaku kira-kira 5.45 petang pada 25 September lalu ketika suspek berada di bahagian belakang premis berkenaan.
“Suspek mengaku memerhatikan keadaan sekeliling selama beberapa minit sebelum mengambil dompet berkenaan dan melarikan diri. Dompet itu mengandungi dokumen pengenalan diri, kad ATM serta wang tunai RM235,” katanya.
Suspek turut mengaku mengambil wang tunai berkenaan sebelum membuang dompet tersebut ke dalam longkang di belakang sebuah premis lain. Dia turut mengaku melakukan perbuatan itu seorang diri.
Dalam tindakan susulan, polis merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan. Semakan turut mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau, termasuk beberapa kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Mohd Haide berkata, siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan serta mengenal pasti sama ada suspek mempunyai kaitan dengan kes lain.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak meninggalkan barangan berharga tanpa pengawasan, khususnya di tempat awam dan premis perniagaan.




