KOTA SAMARAHAN: Polis menahan seorang lelaki dan mengesan dua lagi lelaki yang didapati positif alkohol dalam Op mabuk dan dadah di Lebuhraya Kota Samarahan–Tabuan Jaya, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, dari 11.00 malam semalam hingga 3.00 pagi tadi.
Beliau berkata, sebanyak 123 kenderaan dan 129 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan, manakala 23 saman PDRM (K)257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Dua lelaki didapati positif dalam ujian saringan alkohol, manakala seorang lagi ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine (METH) dan amphetamine (AMP),” katanya.
Mohd Irwan Hafiz berkata, operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan polis untuk membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta kesalahan lain yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
Beliau turut menasihatkan semua pemandu supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah kerana perbuatan itu boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Oleh Connie Chieng





