Baru seminggu jadi ejen judi, wanita 23 tahun dicekup polis

Facebook
WhatsApp
SEORANG wanita tempatan berusia 23 tahun ditahan dalam serbuan Op Dadu selepas disyaki menjalankan aktiviti perjudian tambah nilai dalam talian di sebuah kedai runcit di Ulu Krian, Saratok, semalam. Foto IPD Saratok

SARATOK: Aktiviti perjudian tambah nilai dalam talian terbongkar apabila seorang wanita tempatan berusia 23 tahun ditahan dalam serbuan Op Dadu di sebuah kedai runcit di Ulu Krian, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Hendry Muji, kira-kira 6.55 petang.

Menurutnya, wanita berkenaan ditahan ketika berada di kaunter premis berkenaan selepas disyaki menjalankan aktiviti perjudian tambah nilai dalam talian.

“Pemeriksaan dan serbuan turut membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit Samsung A15 berwarna hijau, sekeping kertas yang tercatat nombor ID judi tambah nilai dalam talian serta sejumlah wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek yang berasal dari Ulu Krian, Saratok, didapati tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dipercayai menjadikan aktiviti berkenaan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai ejen jualan judi tambah nilai dalam talian di kedai runcit berkenaan.

Suspek dipercayai baru menjalankan aktiviti tersebut kira-kira seminggu sejak mula bekerja di kedai runcit berkenaan.

Aktiviti itu menyasarkan pelanggan di sekitar Ulu Krian, manakala ketika serbuan dilakukan, suspek berada seorang diri di dalam premis.

Pemeriksaan air kencing terhadap suspek turut mendapati keputusan adalah negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan status kes kini telah diselesaikan.

Polis Saratok turut menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi membanteras kegiatan perjudian haram yang boleh menjejaskan masyarakat setempat.

Oleh Adi Safarman

Buaya 4.75 meter ditangkap di Marudi

MIRI: Seekor buaya besar berukuran  lebih empat meter  berjaya ditangkap Team Eric Cat dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam