Latihan kurang sebulan, robot rosak, namun tetap bawa pulang gangsa

Facebook
WhatsApp
GURU pembimbing (tengah), Supian Zulkifli bersama Naqib Rafiudin Fiqri Rosli (kiri) dan Auliya Nuryuzarsieff Nor Shubhibillah disambut keluarga dan rakan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching malam ini.

KUCHING: Latihan kurang sebulan tidak menghalang dua pelajar SMK Asajaya mencipta kejutan apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam kategori RoboSports pada World Robot Olympiad (WRO) Open Championship Asia Pacific India 2026 di Hyderabad, India.

Naqib Rafiudin Fiqri Rosli, 14, dan Auliya Nuryuzarsieff Nor Shubhibillah, 13, bersama guru pembimbing, Supian Zulkifli, 52, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching malam ini selepas mengharumkan nama SMK Asajaya dan Sarawak di pentas antarabangsa yang menghimpunkan peserta dari kira-kira 25 negara.

Supian, yang juga guru mata pelajaran Sains di sekolah berkenaan, berkata pencapaian itu amat bermakna kerana untuk bersaing di peringkat dunia, setiap aspek perlu dipersiapkan dengan teliti, lebih-lebih lagi bagi pasukan yang datang dari sekolah luar bandar.

KELUARGA dan rakan menyambut kepulangan Naqib Rafiudin Fiqri Rosli dan Auliya Nuryuzarsieff Nor Shubhibillah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching selepas berjaya membawa pulang pingat gangsa dari World Robot Olympiad (WRO) Open Championship Asia Pacific India 2026 di Hyderabad, India.

“Untuk berlawan di peringkat dunia, segalanya kena perfect. Jadi, bila mereka mencapai kemenangan, walaupun pingat gangsa, benda itu sebenarnya sudah sempurna.

“Kita datang dari sekolah luar bandar. Untuk mencapai satu tahap dunia memerlukan banyak pengorbanan, banyak masa, kerja dan usaha untuk menghasilkan robot yang dapat menyempurnakan pertandingan,” katanya ketika ditemui media selepas ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, malam ini.

Menurutnya, pasukan berkenaan turut berdepan detik mencemaskan apabila kamera robot mengalami kerosakan ketika pertandingan berlangsung.

Katanya, kamera itu penting untuk mengesan bola dalam acara berkenaan, namun kerosakan berlaku ketika pasukan perlu bersedia untuk meneruskan saingan.

“Kamera rosak, tetapi kita ada satu lens untuk membaiki kamera itu. Nasib baik pelajar sudah dilatih betul-betul.

“Bila masuk pusingan kedua, kamera itu terpaksa dibuka dan dipasang semula. Bila dipasang balik, dapat berfungsi,” katanya.

Supian berkata, ketenangan pelajar ketika berdepan masalah teknikal itu membantu mereka meneruskan pertandingan sehingga akhirnya berjaya memperoleh pingat gangsa.

Beliau berkata, kejayaan tersebut turut merupakan hasil sokongan pihak sekolah, PIBG, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Yayasan Sarawak serta sumbangan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang membantu membiayai penyertaan mereka.

“Untuk pergi ke sana kita perlukan duit. Walaupun kita pandai, tetapi kalau tiada sumbangan kewangan, maka tiada apa-apa,” katanya.

Supian berkata, kejayaan itu cukup bermakna selepas pasukan berkenaan mencatat pencapaian terbaik dalam penyertaan ketiga mereka di WRO.

Katanya, dua penyertaan terdahulu masing-masing berlangsung di New Delhi, India pada 2016 dan Costa Rica pada 2017.

Sementara itu, Naqib berkata, dia sendiri terkejut apabila mengetahui mereka berjaya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan berkenaan.

“Terkejut juga. Rasa macam tidak percaya. Walaupun latihan tidak lama, dalam sebulan atau kurang, tetapi dapat juga nombor tiga dalam WRO,” katanya.

Menurutnya, latihan dilakukan secara intensif dengan mengorbankan masa selepas sesi persekolahan.

NAQIB dan Auliya bersama robot yang membawa mereka meraih pingat gangsa dalam kategori RoboSports pada World Robot Olympiad (WRO) Open Championship Asia Pacific India 2026 di Hyderabad, India.

“Kami dari pagi sampai tengah malam. Memang teruskan sahaja,” katanya.

Bagi Auliya pula, penyertaan di Hyderabad merupakan pengalaman pertamanya ke India dan juga pertandingan WRO.

Pelajar berusia 13 tahun itu berkata, kerjasama dengan Naqib sepanjang pertandingan berjalan dengan baik, sekali gus membantu mereka menghadapi saingan di peringkat antarabangsa.

Katanya, minat terhadap robotik turut didorong keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan terhadap penglibatannya dalam bidang berkenaan.

“Sokongan keluarga memang ada dan mereka makin mendorong saya,” katanya.

BANGGA mewakili Malaysia, Naqib dan Auliya meraikan kejayaan meraih pingat gangsa, manakala pasukan dari Taipei muncul naib juara dan India dinobatkan sebagai juara kategori RoboSports pada World Robot Olympiad (WRO) Open Championship Asia Pacific India 2026 di Hyderabad, India.

Supian berkata, penglibatan dalam pertandingan robotik seperti WRO penting untuk menggalakkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau berkata, pengalaman tersebut diharap dapat membuka laluan kepada lebih ramai pelajar untuk meneruskan pengajian dan kerjaya dalam bidang kejuruteraan, teknologi, teknikal serta bidang berkaitan pada masa depan.

Malah, katanya, WRO Open Championship akan berlangsung di Kuching tahun depan, memberi peluang kepada pelajar tempatan untuk menyaksikan sendiri saingan robotik bertaraf antarabangsa di Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi

Kebersihan P-Turn bermula daripada pengguna

BINTULU: Menyediakan plastik sampah sebelum berhenti di P-Turn mungkin kelihatan seperti perkara kecil, namun langkah mudah itu mampu membantu memastikan