SIBURAN: Bermula daripada minat terhadap kraf tangan manik sejak kecil, Alison Nuri tidak menyangka kemahirannya menghasilkan kraf tangan akhirnya membawa beliau kepada penghasilan rosari buatan tangan yang dikongsi bersama komuniti Katolik.
Suri rumah yang gemar mengisi masa dengan pelbagai aktiviti termasuk berkebun itu pada mulanya menghasilkan kraf tangan manik seperti anting-anting sebagai hobi, sebelum mula menghasilkan rosari selepas melihat keperluan peserta kelas agama yang tidak mempunyai rosari peribadi.
Menurut Alison, minat terhadap kraf tangan manik mula berputik sejak kecil selepas sering melihat saudara-maranya menghasilkan kraf tangan menggunakan manik.
“Dari kecil lagi saya sudah melihat saudara membuat kraf tangan manik. Jadi, minat itu memang sudah ada dan sebelum membuat rosari, saya juga menghasilkan kraf tangan seperti anting-anting manik,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Bagaimanapun, titik perubahan berlaku apabila suaminya mengendalikan kelas agama bagi peserta Inisiasi Kristian untuk Orang Dewasa (RCIA) di sebuah kampung dan mendapati sebahagian peserta tidak mempunyai rosari sendiri.
Situasi itu mencetuskan idea untuk menghasilkan rosari secara buatan tangan sebagai hadiah kepada mereka, dengan Alison dan rakan-rakan seagama turut mengumpulkan sumbangan bahan seperti manik, salib dan tali bagi merealisasikan usaha berkenaan.


ALISON Nuri tekun menghasilkan rosari menggunakan pelbagai jenis manik dari kediamannya di Siburan. Foto Adele Rissa
“Apabila semua bahan sudah tersedia, dari situlah saya mula membuat rosari dan saya berjaya menghasilkan kira-kira 50 biji rosari untuk mereka,” jelasnya.
Daripada usaha kecil itu, kemahiran Alison mula diketahui rakan-rakan lain yang kemudian meminta beliau menghasilkan rosari untuk mereka, selain membantu membaiki rosari yang rosak.
Apa yang pada awalnya sekadar hobi kemudian memberikan kepuasan tersendiri kepadanya, terutama apabila dapat memberikan rosari kepada individu yang tidak berkemampuan untuk memilikinya.
“Pada mulanya memang hobi, tetapi menjadi satu kesenangan apabila dapat menderma rosari kepada individu yang tidak mampu mempunyai rosari sendiri,” ujarnya.

Seiring dengan peningkatan permintaan, Alison turut menghasilkan beberapa jenis barangan termasuk rosari, rosari mini dan rosari untuk kenderaan, selain gelang serta anting-anting manik.
Beliau menggunakan pelbagai jenis manik seperti kayu, kaca dan kristal, dengan tempoh menyiapkan satu rosari bergantung kepada bahan yang digunakan.
“Kalau menggunakan tali sahaja, saya boleh siapkan satu rosari dalam 15 hingga 30 minit, tetapi kalau menggunakan besi, mengambil masa kira-kira 40 hingga 45 minit kerana perlu lebih teliti,” katanya.
Menariknya, Alison tidak melihat penghasilan barangan keagamaan itu sebagai satu perniagaan semata-mata, berbeza dengan kraf tangan manik hiasan yang turut dijual seperti produk di pasaran.

Beliau berkongsi, bagi barangan keagamaan, beliau hanya mengambil kira kos bahan yang digunakan tanpa meletakkan keuntungan sebagai keutamaan.
“Saya ada menerima permintaan untuk tempahan mengikut reka bentuk tertentu.
“Untuk anting-anting dan gelang hiasan, saya akan menjualnya seperti di pasaran, tetapi bagi barangan keagamaan, saya hanya mengira kos dan tidak menjadikannya sebagai satu perniagaan,” katanya.
Hasil tangan Alison dari Kuching itu turut sampai kepada komuniti Katolik di Sibu apabila beliau membekalkan rosari ke Kapel Katolik St James di Batu 15, Jalan Sibu-Bintulu, menerusi Tina yang membantu menerima hasil berkenaan di sana.
Sebahagian daripada hasil jualan itu juga disumbangkan kembali kepada pihak kapel sebagai usaha kecil Alison untuk berkongsi hasil daripada hobinya dengan komuniti.
Antara pengalaman yang paling diingatinya ialah apabila beliau menerima permintaan daripada sebuah keluarga untuk menghasilkan rosari khas buat seorang individu yang berada dalam keadaan sangat tenat.
Alison berkata, permintaan sedemikian membuatkan penghasilan rosari mempunyai nilai yang lebih mendalam daripada sekadar menghasilkan satu lagi kraf tangan.
“Secara peribadi, saya anggap membuat rosari sebagai satu tanggungjawab sebagai seorang umat Katolik. Tetapi kraf tangan manik hiasan pula adalah hobi saya,” katanya.
Walaupun mempunyai pelbagai hobi lain dan menguruskan rutin sebagai suri rumah termasuk berkebun, Alison masih melihat kraf tangan sebagai satu ruang untuk terus berkarya dan berkongsi kemahirannya dengan orang lain.
Beliau berharap minat terhadap kraf tangan, khususnya dalam kalangan generasi muda, tidak hilang ditelan perubahan zaman.
“Semoga pada masa akan datang masih ada generasi muda yang berminat untuk membuat kraf tangan,” katanya.
Oleh Adele Rissa





